AM

PERAK TIDAK LULUS LADANG BABI BAHARU DI KAWASAN MAJORITI ISLAM - EXCO

21/04/2025 09:14 PM

IPOH, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Perak tidak meluluskan sebarang pembukaan ladang babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan majoriti penduduk Islam. 

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A Sivanesan berkata sebahagian besar ladang-ladang yang wujud pada hari ini, adalah warisan operasi sejak beberapa dekad lepas.

Beliau berkata ladang-ladang berkenaan terletak di atas tanah milik persendirian serta telah beroperasi sebelum pewartaan garis panduan atau dasar penternakan moden diperkenalkan.

“Sebagai Pengerusi Jawantankuasa Penstrukturan Semula Ladang-Ladang Khinzir di Negeri Perak, saya dengan kerjasama erat daripada Jabatan Veterinar, Jabatan Kesihatan, Majlis Daerah, Pejabat Tanah Daerah dan rakan strategik yang lain telah bertindak dengan lebih agresif.

“Data terkini menunjukkan kejayaan ketara pengurangan ladang khinzir daripada 115 pada hujung tahun 2022 kepada 85 buah pada masa kini.

“Sebanyak 30 ladang khinzir telah ditutup di Negeri Perak hasil penguatkuasaan undang-undang, wabak penyakit yang melanda babi domestik, isu berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah. 30 ladang ini telah ditutup sepenuhnya dan tidak lagi dibenarkan beroperasi semula tanpa kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sivanesan berkata kenyataan terdapatnya ladang ternakan haram di Negeri Perak secara berleluasa  adalah tidak benar sama sekali dan sangat tidak bertanggungjawab, kerana kesemua 85 ladang yang sedang beroperasi di Negeri Perak mempunyai lesen penternakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Sivanesan berkata sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dan penambahbaikan kawal selia, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini sedang melaksanakan proses pemutihan dan penstrukturan semula ladang babi.

“Termasuk di daerah Batang Padang yang meliputi kawasan DUN Ayer Kuning, termasuk pengesahan status operasi lesen, penetapan semula lokasi mengikut zon yang dibenarkan serta pematuhan kepada Modern Pig Farm (MPF),” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad mendakwa terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah berkenaan, dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana terdapat ladang haram.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan