EKONOMI

MALAYSIA SAMBUT BAIK DASAR CHINA TINGKAT PENGGUNAAN DOMESTIK - TENGKU ZAFRUL

21/04/2025 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Malaysia menyambut baik dasar yang diperkenalkan di China dalam tempoh beberapa hari lepas apabila kerajaan negara itu giat merangka langkah-langkah yang bertujuan untuk merangsang penggunaan domestik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata beliau melihat ini sebagai langkah proaktif ke arah hala tuju yang betul.

“Kebimbangan bukan sahaja mengenai kemungkinan produk China membanjiri pasaran lain disebabkan akses terhad ke Amerika Syarikat, tetapi juga implikasi yang lebih luas kepada pengeksport lain termasuk dari Malaysia, Indonesia atau Vietnam yang kini mungkin berdepan peningkatan persaingan di pasaran ketiga.

“Jadi langkah penggunaan domestik baharu dari China ini boleh membantu mengurangkan kesan langsung dan tidak langsung terhadap perdagangan serantau,” katanya menerusi satu temu bual yang dimuat naik di akaun X beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai inisiatif daripada sektor swasta di China yang mana platform e-dagang utama di negara itu berikrar untuk menyokong penggunaan domestik dengan mendapatkan sumber produk daripada pengeksport China dan mempromosikannya di pasaran tempatan.

Beliau memberi contoh gergasi e-dagang China, JD.com, yang berjanji untuk membeli barangan bernilai kira-kira US$27 bilion daripada pengeksport China sepanjang tahun depan untuk pasaran domestik.

Menurutnya, itu adalah perkembangan positif dan percaya Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan China bagi meneroka peluang kerjasama seterusnya terutamanya dalam konteks inisiatif dipacu oleh sektor swasta. 

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan