Kunjungan bersejarah Presiden China Xi Jinping ke tiga buah negara ASEAN termasuk Malaysia minggu lepas, dapat dikatakan berlaku pada saat penting, tatkala dinamik perdagangan global digugat oleh pentadbiran Trump 2.0 yang memperkenalkan dasar tarif timbal balik berkali ganda tinggi ke atas barangan import.
Pada 2 April lepas, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan dasar tarif baharu negara itu ke atas barang-barang import termasuk dari rantau ASEAN, antaranya 49 peratus ke atas Kemboja, 46 peratus terhadap Vietnam dan 24 peratus bagi barangan dari Malaysia, sementara import dari China pula melonjak ke 145 peratus.
Tindakan pentadbiran Trump itu menimbulkan kebimbangan rantau Asia Tenggara yang rata-rata ekonominya bergantung pada eksport. Justeru, kunjungan Xi ke rantau ini dilihat membuka peluang baharu di tengah-tengah ketidaktentuan tersebut.
Xi memulakan kunjungan lima harinya ke rantau ini dengan lawatan ke Vietnam sebelum datang ke Malaysia dan menamatkan jelajahnya di Kemboja pada 18 April.
pic-2
Beliau tiba di Malaysia pada 15 April bagi lawatan negara selama tiga hari, dan pada lawatan itu Xi berikrar untuk memperkukuh penglibatan China dalam kerjasama ekonomi dengan ASEAN serta menyifatkan hubungan negara itu dengan Malaysia sebagai “memasuki era keemasan baharu”.
Sebanyak 31 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Malaysia dan China sepanjang Xi di sini, meliputi sektor strategik seperti ekonomi digital, prasarana, pertanian, keselamatan dan pendidikan.
Bagi Malaysia, kesemua MoU itu bukan setakat merangsang hubungan dua hala tetapi merupakan strategi lebih luas ASEAN dalam meningkatkan daya tahan serantau bagi mendepani bahang persaingan AS-China yang semakin “panas”.
ADA HIKMAH
Penganalisis melihat tindakan AS tersebut membawa hikmah tersendiri kepada negara-negara ASEAN termasuk membolehkan mereka mempelbagaikan strategi eksport, mengurangkan kebergantungan pada pasaran AS serta memperkukuh perdagangan intra-Asia.
Pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata negara-negara ASEAN khususnya, sudah menjadi terlalu “selesa” dengan pasaran AS dan langkah terbaharu negara berkenaan sewajarnya menjadi pemicu bagi rantau ini menggubal strategi baharu dalam memperkukuh ekonomi masing-masing.
“Sekalipun kita tidak bersetuju dengan tarif baharu yang dikenakan kepada kita, tidak mengapa. Kita masih boleh cari pasaran baharu,” katanya kepada Bernama.
pic-3
Malah katanya, sektor seperti minyak kelapa sawit dan sarung tangan getah masih mampu bersaing di pasaran AS di sebalik kenaikan tarif berkenaan.
“Sarung tangan getah misalnya, China yang juga pengeluar mungkin tidak mampu menjual produk mereka di AS, tetapi Malaysia masih boleh bersaing (kerana tarif yang dikenakan jauh lebih rendah berbanding China) selain AS juga amat bergantung pada sarung tangan getah daripada Malaysia,” jelasnya.
Malaysia mencatat lebihan dagangan dengan Amerika Syarikat, mengeksport barangan elektronik, minyak sawit dan jentera ke ekonomi terbesar dunia itu. Malah, Malaysia diunjur dapat berdagang lebih bebas di pasaran antarabangsa susulan tindakan Jabatan Perbendaharaan AS menggugurkan Malaysia daripada senarai pemantauan berkaitan manipulasi mata wang.
KUNJUNGAN KE ASIA TENGGARA BAWA ISYARAT GEOPOLITIK
Sementara itu, Azmi berkata keputusan Xi untuk melangkaui Singapura dengan hanya melawat Vietnam, Malaysia dan Kemboja, menghantar isyarat geopolitik yang jelas kepada Amerika Syarikat, bahawa penglibatan China dalam ASEAN kekal teguh di sebalik tekanan daripada pentadbiran Trump 2.0 terhadap republik tersebut.
Tambahnya, ASEAN mempamerkan perpaduan yang ampuh, terutama di bawah kepengerusian Malaysia pada tahun ini, menunjukkan komitmen perkumpulan itu dalam mempertahankan dasar luar yang bebas, sekali gus mewujudkan potensi besar bagi Malaysia khususnya, untuk memperluas hubungan dagang melewati pasaran tradisional.
“Kira-kira tiga minggu lagi, kita akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China turut diundang, menunjukkan kita bertindak bijak. Jika kita berjaya menembusi pasaran baharu, terutama di GCC dan Afrika, defisit perdagangan disebabkan oleh tarif dapat diimbangi. Akan tetapi kita mesti bekerja keras kerana AS merupakan pasaran mewah,” katanya.
pic-4
Pada 12 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bakal mencipta sejarah pada Mei ini apabila ia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak GCC dengan penglibatan semua negara anggota ASEAN; enam negara Teluk, iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Kuwait dan Oman; selain negara jemputan China.
“Amerika Syarikat mempunyai kelebihan pengaruh yang kuat, tetapi ASEAN, dengan 695 juta pengguna, mempunyai kekuatan dari segi angka. Semuanya bergantung pada bagaimana kita merancang secara strategik untuk menghadapi fasa seterusnya,” kata Azmi, mengulas tentang tempoh jeda 90 hari yang diberikan oleh AS sebelum tarif baharu dikuatkuasakan.
Pada 9 April, Trump mengumumkan pengurangan tarif kepada 10 peratus untuk selama 90 hari buat kebanyakan rakan dagang AS, bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan dengan negara-negara ter.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington bermula hari ini (22 April) bagi misi perundingan kadar tarif baharu itu.
PERTUMBUHAN MASA DEPAN DI SELATAN GLOBAL
Sementara itu, Penasihat kepada Pusat Kajian Strategik Serantau Dr Lee Boon Chye berkata sejak sekian lama, prinsip ASEAN untuk tidak campur tangan dan berkecuali menyumbang kepada kestabilan rantau.
Beliau berkata kewujudan bersama yang aman dalam blok ASEAN bersandarkan falsafah budaya saling menghormati, iaitu asas yang telah memungkinkan kerjasama selama beberapa dekad dalam kalangan negara anggota.
“Dari segi hubungan China-ASEAN, saya tidak terlalu bimbang tentang apa yang disebut sebagai ‘decoupling’. Masa depan pertumbuhan terletak di Selatan Global - Asia, Afrika dan Amerika Selatan.
“Fokus seharusnya diberikan kepada kemakmuran bersama dan kerjasama yang melangkaui sfera tradisional Barat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Forum Media dan Pemikir ASEAN-China baru-baru ini.
pic-5
Tambahnya, tarif baharu AS itu mencerminkan perubahan lebih besar pada sistem dunia, iaitu daripada unipolar kepada multipolar.
Menurutnya, China menggalakkan kerjasama dalam kalangan pihak yang setara, tidak seperti model Barat di mana kuasa dominan sering kali mempengaruhi kawasan-kawasan tertentu.
“Susunan antarabangsa mestilah berasaskan peraturan, bukan satu sistem dengan peraturan diubah setiap kali peraturan itu tidak lagi memihak kepada kuasa besar tertentu,” katanya.
Dr Lee yang juga Pengerusi Bioeconomy Corporation, mengakui wujudnya kebimbangan dalam sektor pembuatan Malaysia yang berorientasikan eksport, terutamanya berdepan dengan kekuatan daya saing industri China.
Namun begitu, katanya, integrasi rantaian bekalan serantau yang lebih kukuh mampu menawarkan jalan penyelesaian yang membina.
“Kebimbangan memang wujud, terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), tetapi dengan model kerjasama yang betul - seperti mengintegrasikan ASEAN dengan lebih jauh ke dalam rantaian bekalan China - kedua-dua pihak boleh meraih manfaat,” katanya yang memberi contoh pengeluaran kenderaan elektrik (EV) sebagai model berpotensi untuk pertumbuhan bersama.
TEROKA LEBIH JAUH SEKTOR DIGITAL CHINA
Dalam pada itu, pakar ekonomi China menggesa perniagaan Malaysia agar mengambil peluang daripada pertumbuhan pesat sektor digital China yang sedang mengubah perdagangan global.
Chen Wenling, bekas ketua ekonomi di Pusat bagi Pertukaran Ekonomi Antarabangsa China, berkata peralihan daripada perdagangan tradisional kepada model B2C (perniagaan terus kepada pengguna), membuka peluang baharu kepada perniagaan Malaysia, terutamanya PKS.
“Dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital China, e-dagang rentas sempadan menjadi pemangkin perubahan bagi perniagaan Malaysia,” kata Chen semasa menjadi panelis dalam sesi Envisioning the Future: 2025 Kuala Lumpur Dialogue yang dianjurkan oleh Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) dan Akademi Pengajian Kontemporari dan Dunia (ACCWS) baru-baru ini.
pic-6
Merujuk kejayaan platform digital China, Chen menyoroti jenama fesyen terkenal SHEIN yang kini menerajui pasaran AS; TEMU, cabang antarabangsa Pinduoduo yang sedang mengembangkan jejak globalnya; dan Douyin E-commerce atau kedai TikTok, yang menghubungkan jenama antarabangsa dengan pengguna China menerusi penstriman langsung.
“Platform-platform ini menunjukkan bagaimana perdagangan tradisional sedang diubah suai dan PKS Malaysia kini boleh melangkaui orang tengah dan terus mencapai pembeli di China melalui saluran digital ini,” katanya.
Chen turut menggesa perniagaan tempatan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu dengan menyelaraskan operasi mereka bersama rangkaian rantaian bekalan serantau, sambil menekankan bahawa Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah alat strategik yang menawarkan pengurangan tarif dan akses pasaran yang lebih lancar kepada pengeksport Malaysia.
Berhubung ketegangan perdagangan yang berterusan antara AS dan China, Chen berkata hubungan perdagangan global China kekal kukuh, melibatkan 185 negara, yang menyumbang kepada daya tahan rantaian bekalan global.
“Malaysia berada di kedudukan yang strategik untuk menjad hab utama yang menghubungkan rantaian bekalan China dan ASEAN. Ini akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menangani tekanan perdagangan unilateral dan membina kerjasama ekonomi yang lebih tahan lasak.
“Ketika transformasi dunia sedang mengubah landskap perdagangan global, saya percaya Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, boleh memainkan peranan utama bagi memperdalam kerjasama perdagangan dan perkhidmatan digital dengan China.
“Dengan mempercepat integrasi ke dalam ekosistem e-dagang dan rantaian bekalan China, Malaysia boleh meningkatkan pengaruh ekonomi serantau serta meneroka pasaran baharu,” katanya.
KURANGKAN CO2
Pakar dasar iklim Dr Gary Theseira berkata walaupun dasar tarif pentadbiran Trump 2.0 lebih tertumpu pada pengurangan ketidakseimbangan perdagangan, perubahan corak perdagangan global yang terhasil mungkin membawa manfaat iklim yang tidak dijangka.
Theseira yang juga Pengerusi Majlis Tadbir Urus Iklim Malaysia, berkata bahawa meskipun tarif lazimnya dianggap sebagai alat perlindungan, dalam kes ini ia mungkin secara tidak langsung menyokong usaha penyahkarbonan global, khususnya di ASEAN.
“Berbeza dengan mekanisme pelarasan sempadan karbon seperti CBAM Kesatuan Eropah atau EUDR (Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU), tarif AS direka lebih kepada untuk menangani ketidakseimbangan perdagangan.
“Namun, ironinya tindakan itu mungkin mempunyai kesan sampingan positif terhadap iklim,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
(CBAM ialah alat EU bagi mengenakan harga yang adil ke atas karbon yang dilepaskan semasa pengeluaran barangan intensif karbon yang diimport ke EU, dan untuk menggalakkan pengeluaran industri yang lebih bersih di negara bukan EU. EUDR pula bertujuan mengurangkan kesan ke atas EU akibat kehilangan hutan global, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melindungi biodiversiti melalui promosi produk bebas penebangan hutan).
pic-7
Menurut beliau, satu daripada kesannya ialah pengurangan jumlah pelepasan karbon berikutan penurunan dalam aktiviti perdagangan dan ekonomi global.
“Apabila perdagangan memperlahan dan ekonomi menjadi lembab, kadar pelepasan biasanya menurun,” katanya.
Theseira turut menambah memindahkan pengeluaran dari wilayah yang tinggi karbon seperti sesetengah kawasan di China ke negara yang mempunyai campuran tenaga lebih bersih, boleh menghasilkan rantaian bekalan global yang lebih mampan.
“Jika barangan yang sebelum ini dihasilkan di kilang berintensif karbon kini dikeluarkan di negara yang menggunakan lebih banyak tenaga boleh baharu seperti solar, kesannya ialah potensi pengurangan pelepasan secara keseluruhan.
“Manfaat yang ketara juga boleh dilihat dalam sektor EV. Tarif AS yang tinggi ke atas EV buatan China berpotensi mengehadkan kemasukan kenderaan itu ke pasaran AS dan mendorong pengeluar mencari pasaran alternatif di ASEAN.
“Disebabkan oleh jarak penghantaran yang lebih pendek dan perjanjian perdagangan sedia ada, negara seperti Malaysia mungkin menyaksikan kemasukan EV China yang lebih mampu milik dan ini boleh mempercepat penerimaan EV di rantau ini, terutamanya dalam kalangan pengguna berpendapatan sederhana,” hurai beliau.
Beliau turut menekankan bahawa laluan penghantaran yang lebih pendek antara China dan Asia Tenggara akan menghasilkan jejak karbon yang lebih rendah, berbanding penghantaran rentas Pasifik ke AS.
Walaupun tarif boleh menjadi cabaran ekonomi kepada pengeksport, Theseira menegaskan bahawa adalah penting untuk mengenal pasti “kesan sampingan alam sekitar positif” yang mungkin wujud.
“Tidak ada negara yang mahukan inflasi terlampau tinggi atau menyusahkan pengguna sendiri, tetapi dalam kes ini, penyeimbangan semula perdagangan mungkin mencetuskan kesan hijau yang meluas di seluruh dunia,” katanya.