AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI PULAU PINANG KEKAL

22/04/2025 10:33 AM

BUKIT MERTAJAM, 22 April (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Pulau Pinang hari ini kekal 42 orang dengan mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Permatang Pasir, di sini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berkata mereka terdiri daripada 13 keluarga dan masih berada di PPS itu kerana rumah belum dibersihkan.

“Tinjauan APM mendapati air telah surut hari ini, namun kami akan terus memantau bagi memastikan kawasan terlibat selamat sebelum mangsa dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih tiga jam, bermula sekitar 1 pagi.

Antara kawasan terbabit ialah Taman Guar Perahu, Kampung Pelet, Penanti, Jalan Permatang Nibong, Permatang Pasir dan Kubang Semang.

Turut terjejas ialah Kampung Telok berhampiran Kawasan Perindustrian Sungai Lokan dan Taman Desa Murni dekat Sungai Dua, Merbau Kudung, Pajak Song dan sekitar Butterworth.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan