JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Polis Johor menahan 23 lelaki warga tempatan termasuk sembilan remaja dalam OPS Motosikal, yang dijalankan serentak di seluruh negeri selama tiga hari bermula Jumaat lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata mereka berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menunggang secara melulu dan membahayakan.
“Polis turut menahan motosikal digunakan di bawah seksyen sama, selain turut menyita 180 motosikal atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran serta ekzos tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Selain itu, polis mengeluarkan 989 saman atas pelbagai kesalahan dengan paling tinggi ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi iaitu 212 saman selain tiada lesen memandu (196 saman),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata statistik itu menunjukkan terdapat segelintir masyarakat masih tegar dan tidak serik untuk mencabar undang-undang sedia ada.
Beliau berkata polis Johor akan terus mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mereka melakukan kesalahan.
-- BERNAMA