AM

SUNWAY MEDICAL CENTRE VELOCITY PERKUKUH PERKHIDMATAN KESIHATAN

22/04/2025 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Sejak penubuhan pada 2019, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) telah berkembang sebagai sebuah hospital tertier terkemuka di Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada Sunway Healthcare Group (SHG), SMCV terus memperkukuh keupayaannya dalam pelbagai bidang kepakaran dan perkhidmatan perubatan dengan enam Pusat Kecemerlangan yang memberi tumpuan kepada Jantung dan Paru-paru, Neurosains, Kesihatan Penghadaman, Ortopedik, Kesihatan Wanita serta Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak.

SMCV dalam kenyataan memaklumkan selaras dengan komitmen hospital untuk menyediakan penjagaan kesihatan mudah diakses dan berkualiti tinggi, pihaknya melaksanakan penambahbaikan secara berfasa bagi memenuhi keperluan semakin meningkat  daripada populasi warga emas serta beban pertambahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Penambahbaikan ini merangkumi peluasan wad perubatan bagi menambah kapasiti pesakit dalam, Jabatan Kecemasan serta peningkatan perkhidmatan pakar bagi menyokong keperluan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat tempatan dan serantau,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SMCV Susan Cheow berkata dalam tempoh hampir enam tahun ini, SMCV telah mencapai kemajuan ketara dan kekal komited untuk menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu menerusi pelan pengembangan ini.

“Kami turut menambah baik perjalanan pesakit dengan mengintegrasikan rawatan perubatan canggih, kemudahan akses, serta sokongan holistik bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada rancangan penambahbaikan hospital, SMCV juga sedang meningkatkan kapasiti wad pesakit dalam kepada 247 katil dengan penambahan sebuah wad perubatan baharu yang mempunyai 18 katil terletak di Aras M, Menara B, betul-betul di atas Jabatan Kecemasan.

Menurut kenyataan itu, wad baharu ini menampilkan reka bentuk moden dengan suasana menenangkan sekali gus menyediakan persekitaran yang selesa dan membantu proses pemulihan pesakit.

“Dengan peningkatan kemasukan pesakit akibat penyakit kronik dan keperluan penjagaan pascaakut, pertambahan kapasiti ini membolehkan SMCV memberikan perkhidmatan kepada lebih banyak individu sambil mengekalkan standard tinggi dalam penjagaan klinikal yang bersifat peribadi,” katanya.

Seiring dengan peluasan wad pesakit dalam, Jabatan Kecemasan akan melakukan beberapa penambahbaikan utama bagi meningkatkan aliran pesakit dan penyampaian rawatan kritikal, antaranya dua pintu masuk bagi memudahkan akses serta kawasan pendaftaran yang direka semula dengan kapasiti tempat duduk ditambah bagi memberikan keselesaan kepada pesakit serta pengiring mereka.

Selain itu, Jabatan Kecemasan  juga akan disusun atur semula bagi mewujudkan perjalanan lebih lancar dan intuitif dengan kaunter pendaftaran, bilik rawatan dan rundingan, perkhidmatan radiologi serta farmasi kini akan ditempatkan di aras sama bagi memudahkan akses.

“Jabatan Kecemasan yang dinaik taraf akan merangkumi tiga bilik rundingan, empat ruang pemerhatian zon hijau, tujuh ruang zon kuning termasuk satu ruang khas untuk pesakit asma, serta dua ruang zon merah untuk kes-kes memerlukan perhatian khusus,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Perubatan SMCV yang juga Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Dr Wee Tong Ming berkata impak penambahbaikan ini akan memperkukuh keupayaan SMCV untuk bertindak balas dengan lebih cekap terhadap kes-kes akut seperti strok, serangan jantung dan asma.

“Dengan mengurangkan masa menunggu pesakit dan memastikan akses segera kepada rawatan yang menyelamatkan nyawa, kami terus memperkukuh keupayaan penjagaan kecemasan kami dan meningkatkan hasil rawatan pesakit,” katanya.

Selain penambahbaikan sedang dijalankan, SMCV turut mencatat satu pencapaian penting pada Februari tahun lepas dengan pembukaan lobi Menara hospital baharu (Menara A) dan jabatan pesakit luar, dengan lobi utama ini direka teliti untuk meningkatkan pengalaman pesakit, mewujudkan suasana mesra serta menyambut kedatangan dengan selesa.

Menerusi akses dua hala yang mudah sama ada dari jalan utama atau taman, ia memudahkan kemasukan pengunjung. Lobi utama turut menampilkan sebuah outlet makanan dan minuman yang menyediakan pilihan tempat makan mudah untuk pesakit dan pengiring mereka, sekali gus memastikan keselesaan serta kemudahan sepanjang lawatan, menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dengan pembukaan Menara A, SMCV kini menempatkan 92 suite rundingan serta sebuah Pusat Saringan Kesihatan baharu di Aras 2, yang beroperasi sebagai pusat sehenti menyediakan pengalaman saringan kesihatan menyeluruh dan bersepadu.

“Semua perkhidmatan diagnostik dan radiologi, termasuk sinar-X dan mamogram ini ditempatkan di aras sama. Pusat ini juga menyediakan ruang kerja khas untuk pesakit dan pengiring, mengukuhkan lagi komitmen SMCV terhadap kecekapan perubatan dan penjagaan berfokuskan pesakit,” menurut kenyataan itu.

SMCV turut merancang untuk membangunkan Menara A sebagai fasiliti perubatan bersepadu setinggi 22 tingkat.

Sepuluh tingkat pertama akan tertumpu kepada peluasan fasiliti perkhidmatan klinikal, termasuk penambahan suite rundingan, wad pesakit dalam dengan kapasiti gabungan lebih 300 katil, bilik pembedahan serta kemudahan rawatan rapi manakala 12 tingkat di bahagian atas pula akan menempatkan pelbagai perkhidmatan bukan klinikal termasuk pusat kesihatan dan kesejahteraan, perkhidmatan gaya hidup dan penjagaan selepas keluar hospital bagi menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan menyeluruh.

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan