JENAYAH & MAHKAMAH

KILANG MEMPROSES AYAM DI KULIM DIKENAKAN TINDAKAN PENAHANAN OPERASI KELENGKAPAN

22/04/2025 10:43 AM

ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap sebuah kilang memproses ayam di Kulim, pada Ahad.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata tindakan itu diambil selepas mendapati kilang berkenaan, telah melakukan pencemaran bau yang menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

“JAS menerima aduan awam berhubung perkara itu dan hasil siasatan mendapati pencemaran bau busuk itu dipercayai terhasil daripada longgokan sisa sembelihan ayam dan simpanan sangkar ayam, yang ada di kilang itu.

“Kilang itu dikenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, atas kegagalan menyediakan sistem pengolahan efluen perindustrian di dalam premis semasa aktiviti memproses ayam mentah dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata tindakan POK itu diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan kilang berkenaan diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku.

“Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 AKAS 1974 dikeluarkan kepada kilang itu untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK yang telah ditetapkan. Kilang itu akan dibenarkan beroperasi kembali selepas JAS berpuas hati dengan langkah pembaikan yang diambil.

“Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, serta memastikan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekeliling,” katanya.

Sharifah Zakiah berkata orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan