TAPAH, 22 April (Bernama) -- Dua pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dibuka serentak pada 8 pagi ini.
Dua pusat pengundian itu ialah Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor dan Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini.
Proses pengundian awal di tiga saluran itu melibatkan 500 anggota polis dan pasangan mereka.
Pusat pengundian awal di Batalion 3 PGA dibuka hingga 5 petang manakala di IPD Tapah ditutup pada 12 tengah hari.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.
-- BERNAMA