SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Bantuan bayaran sewa rumah tiga bulan kepada 396 ketua isi rumah yang terbabit dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya diserah Khamis ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata selain penyerahan bantuan kewangan, penduduk terlibat juga akan diberikan taklimat tentang proses pembinaan semula rumah yang terjejas dalam kebakaran tersebut.
“Khamis ini kita akan panggil semua penduduk terlibat untuk menyerahkan bantuan sewa bagi tiga bulan pertama.
“Semua 396 ketua isi rumah ini layak terima bantuan kewangan daripada senarai mangsa yang membuat permohonan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan Nestle Malaysia untuk Program SELKitar di sini hari ini.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata seramai 396 ketua isi rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran di Putra Heights, layak menerima bantuan sewa rumah selama enam bulan dengan bayaran RM2,000 sebulan.
Berhubung pembaikan rumah mangsa yang terjejas, Amirudin berkata penerangan awal mengenai bagaimana projek itu akan dibuat Khamis ini, bagi memberi gambaran lebih jelas kepada penduduk terlibat.
Beliau berkata pihaknya telah menghantar cadangan kepada Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pembaikan rumah yang terjejas, kerana ia melibatkan aspek peruntukan yang besar.
“Kita sedang menunggu keputusan Kabinet, sebab kita sudah hantar cadangan bagaimana hendak baiki… kalau Jemaah Menteri sudah setuju, nanti kita maklumkan.
“Kita perlu meneliti banyak perkara kerana insiden melibatkan kawasan kampung dan taman yang memerlukan pendekatan berbeza, sebab itu kita cakap kita perlukan antara satu ke dua minggu untuk jelaskan,” katanya.
Semalam, beberapa penduduk dilaporkan berkata mereka masih belum menerima sebarang penjelasan rasmi berhubung pelan tindakan susulan pembaikan rumah daripada kerajaan atau pihak berkaitan lain, walaupun insiden kebakaran itu telah 20 hari terjadi.
Pada 18 April, Amirudin dilaporkan berkata taklimat berhubung pembinaan atau pembangunan semula rumah yang terkesan dalam kebakaran paip gas di Putra Heights, akan diadakan dalam tempoh dua minggu.
Kebakaran 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
-- BERNAMA