AM

KEMBARA PAHANG 1.0 LABUH TIRAI

23/04/2025 11:59 PM

PEKAN, 23 April (Bernama) -- Program Kembara Pahang 1.0 melabuhkan tirainya hari ini selepas tiga hari Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjelajah empat daerah di negeri ini.

Al-Sultan Abdullah dengan diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta rombongan selamat tiba di lokasi terakhir di Pantai Lagenda di sini malam ini.

Sultan Pahang bertitah baginda amat teruja dengan perjalanan yang ditempuhi kerana dapat menyantuni rakyat secara dekat, menikmati keindahan alam semula jadi dan suasana kampung di negeri ini.

"Sambutan rakyat terdiri daripada orang tua, orang muda dan pelajar sekolah… saya perlu berhenti untuk menyantuni dan berterima kasih kepada mereka yang menunggu. 

"Kita juga dapat melihat penduduk dan kampung mereka, selepas ini kita akan tengok apa yang boleh dimajukan secara sederhana dengan mengekalkan kehijauan alam di Pahang," titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kembara Pahang 1.0 di sini malam ini. 

Program Kembara Pahang 1.0 yang melibatkan jarak perjalanan 428 kilometer bermula pada Isnin menjelajah daerah Maran, Temerloh, Bera dan Pekan.

Pelbagai acara menarik diatur sepanjang program berkenaan antaranya sumbangan kepada asnaf, kenduri dan sukan rakyat yang bertujuan menyantuni penduduk setempat serta mengenali mereka secara lebih dekat.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda berhasrat mengadakan program seumpama itu pada masa hadapan dengan menjelajah ke daerah yang belum sempat dikunjungi pada program ini.

"Kita akan lakukan pascanilai dan memperbaiki lagi program ini kerana kita tidak mahu rakyat tunggu terlalu lama, insya-Allah kita akan ke daerah lain pula untuk bermesra dengan rakyat dan memeriksa keadaan di negeri ini," titah baginda. 

Sultan Pahang bertitah terdapat juga pelbagai rungutan yang diterima daripada rakyat berkaitan masalah setempat dan perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyempurnakan pelepasan kumpulan yang akan mengikuti Kursus Jati Diri dan Bina Insan antara Agensi negeri Pahang serta Ekspedisi Gunung Kinabalu 2025 yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

Sebanyak 65 peserta terdiri daripada pelbagai agensi itu akan mendaki Gunung Kinabalu pada Sabtu dan Ahad ini (26 dan 27 April).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan