KOTA BHARU, 24 April (Bernama) --,Seorang penumpang maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas dan terjunam ke dalam sungai dalam kemalangan di Kilometer 80, Jalan Gua Musang-Lojing, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 4.40 petang melalui panggilan telefon daripada anggota Pondok Polis Lojing.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar 2.30 petang apabila kenderaan pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Blue Valley menghala ke Gua Musang hilang kawalan selepas melalui jalan yang dinaiki air susulan hujan lebat.
“Kenderaan itu kemudian terbabas ke cerun sebelum terjunam ke dalam sungai berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu dan seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang sempat menyelamatkan diri dengan terjun keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang yang berada di tempat duduk hadapan tersepit dan gagal keluar sebelum disahkan lemas di lokasi kejadian.
Sik berkata mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang dengan menelefon 09-9121222 atau hubungi Pegawai Penyiasat Insp Aida di talian 012-4027283,” katanya.
-- BERNAMA