Oleh Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 24 April (Bernama) -- Malaysia berpotensi kukuh menjadi pemangkin serantau dalam inovasi semikonduktor dan ketersambungan infrastruktur, menawarkan laluan masuk (gateway) strategik untuk integrasi ekonomi ASEAN-China dipertingkatkan.
Profesor Madya Ekonomi Gunaan, Guanghua School of Management di Peking University, Dr Yao Tang berkata Malaysia mempunyai sektor semikonduktor yang mantap dan pembangunan infrastruktur termasuk ketersambungan rel (landasan kereta api) sebagai aset utama dalam menyokong kerjasama ekonomi lebih mendalam antara China dan ASEAN.
"Malaysia mempunyai sektor semikonduktor termaju. Saya berpendapat banyak potensi untuk penyepaduan foto dalam semikonduktor (Litar Bersepadu Fotonik) dan secara umumnya dalam teknologi teknologi maklumat (IT) juga," katanya kepada Bernama.
Yao berkata keupayaan sedemikian adalah kritikal kerana China dan ASEAN mahu sebuah model ekonomi yang lebih bersepadu di rantau menempatkan lebih dua bilion penduduk dan kadar pertumbuhan tahunan gabungan kira-kira lima peratus.
"Rantau yang berkembang pesat ini, iaitu ASEAN dan China mungkin akan berganda dalam saiz ekonomi dalam dekad akan datang. Dengan pertumbuhan ini, pengaruhnya terhadap ekonomi global akan menjadi jauh lebih ketara, ia boleh mengurangkan pergantungan kepada faktor luaran dan mengurangkan ketidaktentuan daripada kuasa luar,” katanya.
Eksport semikonduktor Malaysia berada dalam kedudukan kukuh pada 2024, mencecah kira-kira US$130 bilion (RM575 bilion).
Malaysia menyumbang kira-kira 13 peratus daripada ujian dan pembungkusan semikonduktor dunia dengan peningkatan pelaburan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) bertujuan untuk mewujudkan hab reka bentuk IC utama.
Selain itu, negara itu memegang kira-kira tujuh peratus pasaran semikonduktor global dengan aspirasi untuk menggandakan bahagian ini kepada 14 peratus menjelang 2029 menerusi pelaburan strategik dan kemajuan dalam reka bentuk cip.
Mengenai infrastruktur, Yao menegaskan kepentingan meningkatkan rangkaian kereta api dan pengangkutan untuk menyokong mobiliti serantau, perdagangan dan sinergi ekonomi.
"Sudah ada usaha untuk menghubungkan lebih baik melalui kereta api dan infrastruktur lain. Ini semua menuju ke arah integrasi serantau lebih baik," katanya.
Beliau juga menekankan keperluan untuk perancangan strategik jangka panjang dan penjajaran merentas negara di rantau ini, pada masa sama pelaburan yang diselaraskan dalam tenaga hijau dan kecerdasan buatan (AI) boleh mengukuhkan kemakmuran bersama.
Mengenai dinamik perdagangan, Yao menekankan keperluan bagi China untuk berkembang daripada model didorong eksport tradisionalnya ke arah pendekatan lebih seimbang yang menyokong penyetempatan pengeluaran di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
"Pada masa ini, China mengeksport banyak produk siap, mewujudkan ketidakseimbangan perdagangan. Dengan memindahkan beberapa kapasiti pengeluaran ke luar negara, wujud lebih banyak penciptaan nilai tempatan.
"China perlu melabur lebih banyak di luar negara, justeru kapasiti dapat dikembangkan dan dikongsi. Ini akan membantu berkongsi pertumbuhan dan teknologi terutamanya dalam bidang memerlukan pembangunan perindustrian," katanya.
Yao berkata kepelbagaian import terutamanya dalam produk pertanian dan kebudayaan akan terus mengimbangi perdagangan, mekanisme seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berperanan sebagai platform untuk menggalakkan pertukaran tersebut.
“Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk barangan dari negara ASEAN dan dengan penurunan tarif dan halangan perdagangan, China boleh mengimport lebih banyak...bukan hanya mengeksport lebih banyak,” katanya.
Di peringkat global, beliau menekankan bahawa China harus mengelak daripada mendapatkan kuasa dan pengaruh, sebaliknya menyasarkan untuk menjadi pemimpin ekonomi yang bertanggungjawab.
"Anda boleh menjadi pemain terbesar, bagaimanapun anda juga harus bertanggungjawab dan berhati-hati. Itu akan menjadi satu-satunya langkah ke hadapan yang mampan," katanya.
-- BERNAMA