KAJANG, 24 April (Bernama) -- Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang merupakan antara terbaik dalam sejarah menjadi petunjuk jelas peningkatan kualiti pendidikan negara, namun beberapa segmen penting masih memerlukan penambahbaikan dan akan terus diberi perhatian.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata segmen itu termasuk kadar kehadiran pelajar semasa peperiksaan, jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar serta peningkatan kelulusan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah yang menjadi syarat kelayakan memperoleh sijil.
“Kehadiran untuk peperiksaan ini antara yang saya fikir cukup signifikan kerana intervensi yang kita lakukan telah dapat mengurangkan sikit sebanyak (ketidakhadiran calon).
“Kemudian langkah-langkah yang terkait rapat dengan jurang (pencapaian) luar bandar dan bandar, serta tumpuan untuk memastikan kelulusan terus meningkat untuk subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Saya fikir ada banyak segmen untuk ditambah baik dan kita akan ambil serius perkara-perkara ini bagi memastikan keputusan akan datang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Penyerahan Slip Keputusan Peperiksaan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent (M) Kajang hari ini.
Selain itu, beliau berharap pencapaian SPM kali ini akan memberikan semangat kepada guru untuk terus menguasai serta memberikan tumpuan kepada kualiti pengajaran semasa di dalam kelas.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan memaklumkan keputusan SPM 2024 adalah pencapaian terbaik sejak 2013, dengan mencatat Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.
Azman berkata bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menegaskan tidak timbul isu kerajaan mengetepikan mana-mana bahasa seperti Tamil dan Cina di sekolah, walaupun terdapat cadangan untuk memperluas tawaran bahasa elektif.
“Bahasa asing ini bahasa yang sudah pun berada (diperkenalkan) dalam di peringkat sekolah secara elektif. Ada bahasa Jerman, bahasa Perancis dan pelbagai bahasa lagi.
“Jadi tidak timbul soal untuk kita mengetepikan mana-mana bahasa malah di sekolah vernakular memang bahasa Tamil dan bahasa Cina itu menjadi kutamaan selain Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan sebagai berkata Malaysia sedang memperluas tawaran bahasa elektif di sekolah dengan memasukkan bahasa ASEAN seperti Thai, Khmer dan Vietnam bagi menggalakkan kerjasama serantau lebih erat.
-- BERNAMA