PASIR GUDANG, 24 April (Bernama) -- Pelabur langsung asing (FDI) kekal sebagai sumber utama pelaburan di Johor apabila menyumbang lebih kurang 80 peratus daripada RM23 bilion pelaburan dalam perancangan bagi April.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han berkata berkata ini berikutan prestasi pelaburan suku pertama yang menyaksikan FDI menyumbang hampir 90 peratus daripada RM27.4 bilion pelaburan baru di negeri berkenaan.
Hampir semua semua pelaburan berkenaan berada di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan antara sektor yang terlibat adalah petrokimia, kimia kursus pembuatan termaju serta pusat data, katanya.
“Sumber utama pelaburan untuk ketika ini di negeri Johor tentunya datang dari Singapura, China dan juga dari Jepun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyempurnaan dan Pentauliahan (Sub: Completion and Comissioning Ceremony) kilang Ferrotec Power Semiconductor Malaysia Sdn Bhd di sini semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Lee berkata kerajaan negeri turut berusaha untuk meningkatkan pelaburan domestik di negeri berkenaan dan menggalakkan syarikat tempatan yang berminat untuk bekerjasama dengan syarikat multinasional (MNC).
“Mana-mana syarikat tempatan yang berminat, kita boleh padankan mereka dengan syarikat MNC yang datang ke negeri Johor ini untuk tingkatkan lagi pelaburan domestik di negeri ini,” katanya.
Ferrotec Power Semiconductor Malaysia ialah anak syarikat Jiangsu Ferrotec Semiconductor Technology Co Ltd yang berpangkalan di China.
Syarikat berkenaan melaburkan kira-kira RM650 juta untuk membina kilang berkenaan yang pengeluaran utamanya adalah substrat seramik untuk modul semikonduktor kuasa (Sub: ceramic substrates for power semiconductor modules).
Apabila mencapai kapasiti penuh, kilang itu dijangka menjana nilai keluaran tahunan diantara RM658 juta dan RM878 juta.
-- BERNAMA