AM

KKM DAPAT PERSETUJUAN NAIKKAN ELAUN ETAP, PENGUMUMAN DIBUAT NANTI - DZULKEFLY

24/04/2025 03:20 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah mendapat persetujuan untuk menaikkan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi petugas kesihatan dan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat nanti, kata menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata aspek kebajikan petugas kesihatan sentiasa diperjuangkan dan menjadi keutamaan baginya sepanjang mengemudi KKM.

“Kenaikan active allowance atau ETAP itu telahpun kita dapat persetujuan, cuma untuk mengumumkan jumlahnya itu, saya diminta untuk tunggu pengumuman,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024: Pemakanan di KKM di sini hari ini.

ETAP merupakan imbuhan atas tanggungjawab tambahan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan dalam merawat pesakit semasa bertugas ‘on-call’ di hospital selepas waktu bekerja biasa.

Dzulkefly berkata pihaknya juga telah mendapat persetujuan berkaitan fee schedule membabitkan klinik dan hospital swasta.

Sementara itu, mengenai dakwaan KKM melaksanakan majlis hari raya secara besar-besaran dan menjemput artis ternama, beliau berkata jemputan ke atas Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin adalah menerusi platform Yayasan Nurjiwa.

Beliau berkata KKM tidak membayar penyanyi itu untuk membuat persembahan manakala Datuk Jamal Abdillah hanya diberikan sedikit token.

“Ini (majlis hari raya) adalah juga untuk meraikan warga besar KKM yang bukan saja di KKM Putrajaya ini, tetapi mereka datang dari tempat lain,” katanya.

Sebelum ini beberapa portal berita mengkritik Dzulkefly dan kementeriannya kerana berbelanja besar untuk Majlis Hari Raya mereka termasuk menjemput beberapa artis ternama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan