SANDAKAN, 24 April (Bernama) -- Polis menahan 152 individu dalam operasi khas pemutihan jenayah dadah selama sebulan di sini, yang membabitkan serbuan ke atas 10 lokasi termasuk pasar serta kedai-kedai yang disyaki menjalankan aktiviti mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Ahsmon Bajah berkata operasi khas dikenali sebagai Op Tapis yang berakhir pada 20 April itu berjaya merampas 1.3 kilogram dadah pelbagai jenis, antaranya syabu, ketamin serta ecstasy selain 235 mililiter cecair vape mushroom.
Beliau berkata polis turut merampas lima kenderaan serta lapan barang kemas dalam operasi itu, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM350,000.
"Tangkapan turut melibatkan wanita serta warga asing… kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 15(1)(a) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
-- BERNAMA