KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan dalam usahanya menjadi institusi bertaraf dunia apabila buat julung kalinya tersenarai dalam kelompok 50 universiti terbaik Asia dalam edisi terkini Times Higher Education Asia University Rankings.
UTP dalam kenyataan memaklumkan universiti itu kini merupakan institusi pengajian tinggi terbaik di Malaysia selepas menduduki tempat ke-43, meningkat daripada kedudukan ke-52 tahun lepas, selain mengekalkan gelaran sebagai universiti nombor satu di Malaysia dan universiti swasta terbaik di ASEAN.
Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan UTP terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan kerjasama global.
“Pencapaian ini merupakan bukti kepada usaha gigih warga kerja, mahasiswa dan rakan kerjasama kami dalam memperkasa bidang penyelidikan, inovasi dan pendidikan. Kami amat berbangga mewakili Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Penarafan berkenaan menilai universiti berintensifkan-penyelidikan terbaik dunia berdasarkan lima petunjuk utama: pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, pemindahan ilmu dan pandangan antarabangsa.
Kenyataan itu memaklumkan kedudukan UTP yang melonjak dalam senarai berkenaan mencerminkan impak universiti itu yang semakin meluas dalam penyelidikan melibatkan pelbagai disiplin, kerjasama industri dan kecemerlangan akademik.
Mohamed Ibrahim berkata fasa seterusnya bagi UTP adalah memberi tumpuan kepada penyelesaian cabaran dunia sebenar melalui kerjasama lebih mendalam bersama institusi global, industri dan kerajaan.
“Kami sedang melabur dalam penyelidikan termaju, program rentas disiplin dan pengalaman pembelajaran berasaskan digital untuk memastikan siswazah kami bersedia menghadapi dunia yang berubah dengan pantas,” katanya.
UTP turut memaklumkan antara inisiatif masa depan termasuk pengenalan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian, yang dijadual bermula September ini.
“Program perintis ini menggabungkan bidang kejuruteraan, teknologi dan reka bentuk berteraskan manusia untuk melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran masa depan. Ia mewakili model pendidikan baharu yang melangkaui sempadan disiplin serta memupuk inovasi dan pembelajaran berasaskan tujuan.
"Selaras dengan peluasan kerjasama global dan pelaburan dalam penyelidikan termaju, UTP kekal komited terhadap misi jangka panjangnya untuk membentuk industri, mentransformasi masyarakat dan terus berada di hadapan arus perubahan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA