KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd dijangka mencatatkan penurunan dalam keuntungan bersih sebanyak 9.8 peratus hingga 20.4 peratus suku ke suku dan 17.2 peratus hingga 26.9 peratus tahun ke tahun kepada RM55 juta-RM62 juta pada suku pertama 2025.
Bursa Malaysia dijadual mengumumkan keputusan kewangan bagi suku pertama tersebut pada 28 April ini.
CIMB Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata penurunan yang dijangkakan itu adalah berdasarkan kepada anggaran penurunan 5.6 peratus hingga 10.9 peratus suku ke suku dan 6.3 peratus hingga 11.5 peratus tahun ke tahun jumlah pendapatan kepada RM166 juta hingga RM175 juta.
Ini akan didorong oleh pengurangan 5.3 peratus suku ke suku dan 14.2 peratus tahun ke tahun dalam nilai purata harian (ADV) sekuriti, kata bank pelaburan itu.
“Kami menganggarkan ini akan menghasilkan nisbah kos kepada pendapatan yang lebih tinggi iaitu 53 peratus hingga 56 peratus (Suku Pertama 2024: 46.5 peratus, Suku Keempat 2024: 53.8 peratus).
“Tiada dividen dijangka diumumkan bagi suku tersebut, kerana Bursa Malaysia lazimnya mengisytiharkan dividen setiap setengah tahun,” kata CIMB Investment Bank.
Menurutnya, ADV sekuriti merosot kepada RM2.7 bilion pada Suku Pertama 2025, turun daripada RM3.2 bilion pada Suku Pertama 2024 dan RM2.9 bilion pada Suku Keempat 2024, mencerminkan sentimen pasaran yang berhati-hati berikutan pengumuman tarif timbal balik pentadbiran Trump baru-baru ini, yang telah meningkatkan kebimbangan ketidaktentuan dasar dan menimbulkan potensi ketidaktentuan.
-- BERNAMA