EKONOMI

CIMB JANGKA PENGURANGAN OPR PADA JULAI DI TENGAH-TENGAH RISIKO PERTUMBUHAN

24/04/2025 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd (CIMB) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Julai.

Hal ini disebabkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi susulan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia dan rakan dagang utamanya.

“Kami menjangkakan BNM menurunkan OPR pada 9 Julai, 2025 dengan mengetepikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mei bagi membolehkan bank pusat menilai lebih banyak data makroekonomi terutamanya yang berkaitan dengan perdagangan luar susulan tarif "Hari Pembebasan", serta rundingan perdagangan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS).

“Mesyuarat MPC pada Julai juga menandakan berakhirnya tempoh penangguhan tarif selama 90 hari oleh AS,” menurut nota penyelidikan bank pelaburan itu hari ini.

Unjuran CIMB itu susulan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan perlahan kepada 4.4 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2025, berbanding 5.0 peratus pada suku keempat 2024. Unjuran terkini itu sedikit lebih rendah berbanding unjuran CIMB pada 4.5 peratus dan konsensus Bloomberg iaitu 4.8 peratus.

“Memandangkan inflasi keseluruhan ketika ini berada di bawah purata 12 bulan, ini memberi ruang kepada BNM untuk mempertimbangkan penurunan OPR.

“Penurunan kadar yang dijangkakan ini terutamanya bertujuan menangani kebimbangan terhadap pertumbuhan yang dikaitkan dengan tarif perdagangan yang dikenakan oleh AS serta ketidaktentuan perdagangan global yang lebih meluas,” katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIVB) mengekalkan unjuran OPR pada 3.00 peratus sepanjang 2025.

“Pada pandangan kami, trajektori dasar monetari pada separuh kedua 2025 akan bergantung kepada masa dan skala rasionalisasi subsidi domestik, hasil rundingan tarif yang sedang berlangsung, serta perubahan dasar perdagangan yang seterusnya oleh AS dan China.

“Dengan aktiviti domestik yang secara amnya sejajar dengan unjuran garis asas BNM dan risiko penurunan terhadap pertumbuhan yang masih wujud, kami menjangkakan MPC mengambil pendirian berhati-hati dan mengekalkan kadar dasar tidak berubah dalam tempoh terdekat,” katanya.

PIVB turut membangkitkan Akta Tarif Perdagangan Timbal Balik AS dan potensi tindak balas atau tindakan perdagangan khusus sektor sebagai punca ketidaktentuan yang menjejaskan prospek luaran Malaysia.

“Walaupun BNM dijangka kekal tidak berubah terhadap OPR kecuali terdapat kejutan material ke atas laluan pertumbuhan atau inflasi, data-data mengenai gangguan perdagangan global dan kesannya terhadap ekonomi domestik akan diperhatikan dengan teliti,” katanya.

Ia berkata kenyataan oleh Gabenor BNM baru-baru ini mengukuhkan pandangan bahawa dasar monetari sahaja tidak dapat menangani kejutan berkaitan perdagangan dan menunjukkan ketersediaan alat dasar lain untuk menguruskan tekanan luaran.

Kenanga Investment Bank Bhd, sementara itu, mengekalkan unjuran inflasi 2025 pada 2.7 peratus, mengambil kira jangkaan rasionalisasi subsidi bahan api RON95.

“Walaupun Malaysia sebahagian besarnya terlindung daripada inflasi yang disebabkan oleh tarif, kami menekankan perubahan dasar domestik—seperti rasionalisasi subsidi bahan api RON95, struktur tarif elektrik baharu di bawah RP4 dan kemungkinan kenaikan tarif air di seluruh negara sebagai risiko utama kepada kawalan inflasi.

“Jika rasionalisasi subsidi ditangguhkan, kami akan menyemak semula unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) 2025 kami ke bawah kepada 1.8 peratus,” katanya.

Maybank Investment Bank Bhd turut menyemak semula unjuran inflasi 2025 kepada 2.0 peratus daripada 2.3 peratus sebelum ini, dengan mengambil kira faktor-faktor seperti potensi semakan semula tarif elektrik, rasionalisasi subsidi RON95 dan perubahan dalam kos buruh asing.

Bank pelaburan itu memberi amaran bahawa turun naik harga komoditi global, perubahan dasar perdagangan global dan Akta Tarif Perdagangan Timbal Balik AS boleh menyumbang kepada peningkatan tekanan inflasi.

“Dengan petunjuk yang bercampur-campur ini, penganalisis bersetuju bahawa tindak balas dasar BNM akan terus bergantung kepada keadaan luaran yang berubah-ubah dan perkembangan dasar domestik. Mesyuarat MPC pada Julai akan menjadi penentu penting sama ada pelonggaran monetari selanjutnya diperlukan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan