JENAYAH & MAHKAMAH

600 KAMERA BADAN UNTUK PEGAWAI IMIGRESEN - SAIFUDDIN NASUTION

24/04/2025 04:55 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan 600 unit kamera badan untuk kegunaan pegawai imigresen dalam usaha meningkatkan integriti dan ketelusan agensi berkenaan. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu merupakan respons kepada kebimbangan yang disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu integriti dalam perkhidmatan imigresen.

“Datuk Seri (Perdana Menteri) sendiri ada menelefon Ketua Pengarah Imigresen dan menyuarakan keperluan untuk segera mengusahakan pemakaian kamera badan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KDN di sini, hari ini.

Beliau berkata proses perolehan kamera badan itu akan dilaksanakan pada 28 April ini.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata sistem pagar automatik (autogate) akan menggantikan sebahagian besar kaunter manual di lapangan terbang antarabangsa mulai Jun ini, sejajar dengan kehendak Perdana Menteri untuk mempercepat proses keluar masuk pelancong di pintu sempadan negara.

Katanya inisiatif berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa selama lebih kurang 30 minit menyantuni warga KDN.

Majlis turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan