Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup sedikit tinggi hari ini, disokong oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah di tengah-tengah kebimbangan perang perdagangan global yang berterusan.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata demikian susulan penurunan ketara dengan harapan berlakunya gencatan dalam perang perdagangan, bagi membolehkan emas meningkat ketika pasaran menilai semula apa yang sebenarnya ditawarkan.
“Usaha damai Washington tidak jelas dan maklumat mengelirukan berhubung tarif menyebabkan keadaan tidak menentu.
“Sehingga ada mesej yang konsisten atau rangka kerja penyelesaian yang boleh dipercayai, emas kekal sebagai pelindung nilai dalam ketidakpastian,” katanya kepada Bernama.
Ketika ditutup hari ini, kontrak semerta April 2025 lebih rendah sedikit kepada US$3,338.70 setiap auns troy daripada US$3,340.60 setiap auns troy pada Rabu, dan kontrak Mei 2025 merosot kepada US$3,347.70 setiap auns troy daripada US$3,349.60 setiap auns troy.
Kontrak Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 semuanya meningkat kepada US$3,364.90 setiap auns troy daripada US$3,364.70 setiap auns troy semalam.
Jumlah dagangan turun kepada 243 lot daripada 290 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka susut kepada 271 kontrak daripada 343 kontrak sebelumnya.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 23 April, harga emas fizikal berada pada US$3,262.95 setiap auns troy.
-- BERNAMA