PETALING JAYA, 25 April (Bernama) -- Dua lelaki didenda masing-masing RM300 dan RM350 oleh dua Mahkamah Majistret di sini kerana membuat kacau ganggu semasa sambutan Pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, baru-baru ini.
Pekerja penyelenggaraan penyaman udara Ch’ng Jin Wei, 27 didenda RM300 oleh Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha manakala Ng Boo Sheng, 28, didenda RM350 oleh Majistret Farah Azura Mohd Saad, selepas kedua-duanya mengaku bersalah pada prosiding hari ini.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada orang awam pada 11 malam, 20 April lepas semasa pesta berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Ng memohon agar hukuman minimum dikenakan dengan mengambil kira ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya serta pengakuan bersalah tertuduh di peringkat awal.
“Anak guam saya telah ditahan reman selama dua hari. Dia turut mengalami kecederaan, ada jahitan pada atas mata dan kesan lebam. Saya mohon satu hukuman yang rendah memandangkan tertuduh telah mengaku kesalahannya,” kata peguam berkenaan.
Sementara itu, Peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Ch’ng merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah kerana mengaku insaf atas perbuatan tersebut selain memohon maaf kepada semua pihak terlibat.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ainul Athirah Jamalullail dan Lim Leong Hui memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Pada 22 April lepas, polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan insiden pergaduhan dipercayai berlaku ketika sambutan Pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perebutan mengisi air bagi pistol air digunakan dalam pesta tersebut.
Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi 56 saat memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan membaling kerusi dipercayai berlaku pada sambutan pesta itu di sebuah pusat beli-belah.
-- BERNAMA