DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP RENDAH SUSULAN MINAT RISIKO MENINGKAT

26/04/2025 12:01 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Jumaat berikutan minat risiko yang meningkat susulan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas memulakan dagangan kukuh, mencecah US$3,370 setiap auns troy dalam keadaan ketidaktentuan yang berterusan mengenai pertikaian perdagangan AS-China.

“Bagaimanapun, pengukuhan itu segera berakhir selepas China memberikan isyarat kepada potensi mempertimbangkan penurunan sebahagian daripada tarif ke atas barangan AS bagi menyokong industri domestik mereka.

"Hasrat ini membantu meredakan kebimbangan mengenai konflik perdagangan yang semakin memuncak dan menyebabkan penurunan harga emas yang mendadak berjumlah US$70,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata pasaran terus peka terhadap berita-berita berkaitan perdagangan manakala harga emas bergerak selari dengan ketegangan yang dirasakan.

“Sebarang isyarat ketegangan yang reda, meskipun bersifat sementara, berkecenderungan untuk mengurangkan permintaan terhadap aset selamat," katanya.

Pada penutupan dagangan hari ini, kontrak bulan semerta April 2025 menyusut kepada US$3,307.20 setiap auns troy daripada US$3,338.70 setiap auns troy pada Khamis dan kontrak Mei 2025 berkurangan kepada US$3,316.20 setiap auns troy daripada US$3,347.70 setiap auns troy.

Kontrak Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 masing-masing susut kepada US$3,332.80 setiap auns troy daripada US$3,364.90 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan menurun kepada 37 lot daripada 243 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 88 kontrak daripada 271 kontrak sebelum ini.

Berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 24 April, harga emas fizikal sebanyak US$3,314.75 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan