Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 25 April (Bernama) – Indonesia telah menamatkan misi perubatan kecemasannya di Myanmar selepas pasukannya memberikan rawatan kepada hampir 5,000 mangsa susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud yang melanda negara itu pada 28 Mac dan mengorbankan lebih 3,600 nyawa, mencederakan lebih 4,800 orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 141 lagi masih hilang.
Pasukan yang digerakkan di bawah Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) secara rasmi menamatkan operasi selama 15 hari pada 21 April dan pulang ke Jakarta pada Khamis.
Menurut BNPB, seramai 4,874 pesakit telah menerima rawatan di hospital medan di Nay Pyi Taw, ibu negara Myanmar, dengan jumlah pesakit tertinggi dicatatkan pada satu hari ialah 660 orang.
Penyelaras misi kemanusiaan itu, Ary Laksmana Widjaja menyifatkan operasi berkenaan sebagai “pencapaian luar biasa” dengan purata 325 pesakit dirawat setiap hari.
Sebagai sebahagian daripada sokongan berterusan, Kerajaan Indonesia turut menyumbang sebuah hospital medan dan kelengkapan perubatan kepada Kementerian Kesihatan Myanmar, yang kemudiannya diserahkan kepada sebuah hospital di Oattara Thiri.
Kerajaan Myanmar merakamkan penghargaan atas bantuan itu yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan negara itu, menurut Ary dalam satu kenyataan.
Pasukan Indonesia terdiri daripada doktor, jururawat, bidan dan kakitangan logistik dari unit simpanan perubatan Kementerian Kesihatan, yang dikerahkan di bawah penyelarasan Pusat Krisis kementerian berkenaan.
Misi ini merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas Indonesia dalam bantuan kemanusiaan antarabangsa, selepas sebelum ini menghantar pasukan perubatan kecemasan ke Pakistan susulan banjir pada 2022 dan ke Türkiye selepas gempa bumi pada 2023.
-- BERNAMA