KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Seorang anggota polis putus sebahagian telinga kiri selepas digigit seorang lelaki warga Nigeria ketika cuba memasukkan suspek ke dalam kereta peronda polis (MPV) di Metro Prima, Kepong di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata dalam kejadian pada 10.03 pagi itu, mangsa yang merupakan anggota peronda (MPV) berpangkat koperal menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki warga asing yang membuat kacau di sebuah klinik.
“Siasatan mendapati suspek berusia 38 tahun itu membuat kacau di klinik berkenaan dan telah ditahan anggota Balai Polis Kepong. Mangsa diarahkan membantu membawa suspek balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Semasa memasukkan suspek ke dalam kereta di bahagian tempat duduk belakang, suspek yang bergari tangan di belakang tiba-tiba bertindak agresif dan tidak memberikan kerjasama. Suspek telah menggigit telinga kiri mangsa sehingga terputus sebahagian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anggota berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Menurutnya suspek didapati berada di negara ini tanpa dokumen sah dan kini ditahan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA