IPOH, 25 April (Bernama) - - Kira-Kira tujuh menu 'air tangan' anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjadi tarikan pengunjung di Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati orang ramai berbilang bangsa beratur panjang di pekarangan luar Stadium Indera Mulia untuk mencuba masakan anggota JBPM, atau lebih sinonim dengan panggilan 'abang bomba', sejak 6 petang lagi meskipun cuaca kurang baik.
Ketua Balai Klang Utara Shaharil Mohamad Hassan, 40, berkata antara juadah yang disajikan ialah mi goreng, kuetiau goreng, pisang goreng, cempedak goreng, cekodok pisang dan keledek goreng.
“Apa yang kita buat ialah kita goreng mi dan kuetiau di atas lori ini yang kita gunakan semasa operasi kebakaran yang lama untuk anggota. Jadi untuk kali ini, kita dijemput untuk sama-sama meraikan Hari Raya dekat sini.
“Kesemua menu ini dimasak oleh anggota bomba sendiri dan setakat ini, sejak 7.30 malam hingga sekarang kami tidak henti-henti masak…untuk malam ini, kita sediakan lebih kurang 50 hingga 60 kilogram,” katanya kepada Bernama.
Majlis itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Seorang pengunjung, Amira Keflee, 35, berkata keunikan fire kitchen truck di majlis berkenaan menarik perhatian pengunjung terutama kanak-kanak.
“Kebiasaannya, kita lihat abang bomba ini selamatkan masyarakat daripada bahaya seperti kebakaran dan haiwan berbisa tetapi kini kita dapat rasa air tangan mereka pula,” katanya.
Penjawat awam Khairul Amali Abu Hassan, 42, pula teruja melihat kebolehan abang bomba dan berbangga dengan kemahiran yang dimiliki mereka.
“Kalau tengok tadi, pengunjung tak henti-henti datang ke gerai bomba untuk merasai menu mereka dan juadah yang mereka sajikan juga sedap,” katanya.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 22 gerai yang menyajikan pelbagai juadah seperti ketupat, nasi himpit, putu mayam dan dim sum.
Lebih 15,000 pengunjung membanjiri sambutan hari raya itu yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
-- BERNAMA