KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pelakon dan penyanyi Tamil terkenal tempatan Sivakumar Jayabalan ditemukan maut bersama ibunya di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Cheras, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata siasatan awal mendapati Sivakumar, 48, dan ibunya yang berusia 76 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat 11 bangunan itu kira-kira 12.35 tengah hari tadi.
"Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Cheras untuk bedah siasat dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah, bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Aidil berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA