KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Beberapa jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup dan dilencongkan mulai 2 petang ini bagi aksi final Piala Malaysia 2024-2025 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC yang berlangsung malam ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata penutupan dan lencongan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran aliran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta penyokong yang hadir itu akan dilaksanakan hingga tamat perlawanan.
Beliau berkata jalan terlibat ialah susur Lebuhraya Shah Lama (KESAS) ke lampu isyarat SUKOM, lampu isyarat SUKOM ke arah Jalan Merah Cagar, Jalan Barat dari Lebuhraya KESAS, Jalan Barat/Jalan Radin, Jalan Barat/Lebuhraya KESAS, susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda dan susur Puchong Link ke Jalan Barat.
“JSPTKL akan menugaskan 180 pegawai dan anggota bermula seawal 10 pagi, merangkumi rondaan di sekitar stadium dan menutup serta melencongkan jalan-jalan terlibat.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda dan arahan pegawai trafik di lokasi. Orang ramai turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Bukit Jalil bagi mengelak kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee menerusi talian 03-20719999, Hotline JSPTKL 03-20260267/0269 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 tengah malam ini bagi keselesaan penumpang dan penonton sempena perlawanan akhir Piala Malaysia serta Konsert Solo Pertama Amy Search di Axiata Arena.
“Pengguna disaran menggunakan kad Touch ‘n Go dan pastikan baki mencukupi untuk kelancaran perjalanan.
“Operasi stesen-stesen sambungan turut dilanjutkan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA