PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang sebelum ini di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kini dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata keputusan bagi memindahkan MITRA ke KESUMA telah dipersetujui Jemaah Menteri baru-baru ini.
“Saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri yang telah memberikan tanggungjawab dan amanah sangat besar ini kepada KESUMA.
“KESUMA akan menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani dan penyerahan surat pemaklumkan program Dharma MADANI KESUMA di sini hari ini.
Menurut KESUMA, pemindahan MITRA bertujuan memastikan perancangan, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif masyarakat India dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan, selaras dengan ekosistem pembangunan modal insan negara di bawah Kerajaan MADANI.
MITRA, yang pada asalnya dikenali unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), ialah sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
Antara fungsi utama MITRA ialah mengenal pasti isu dan cabaran semasa masyarakat India Malaysia, melaksanakan inisiatif pembangunan sosioekonomi bagi masyarakat India Malaysia dan menyelaras kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta ke arah pembangunan masyarakat India Malaysia secara holistik.
Pada sidang media berasingan, Ramanan menegaskan tidak wujud sebarang konflik sekiranya MITRA diletakkan di bawah KESUMA selagi mana aspek tatakelola dan peraturan dipatuhi.
“Kita akan patuh kepada program yang kita ingin laksanakan dan program diumumkan, asal ikut tatakelola, patuh kepada syarat-syarat program tersebut (pasti) tidak ada konflik wujud. Itu saya boleh bagi jaminan,” katanya.
Pada majlis itu, Ramanan menyerahkan bantuan Fasa Pertama Program Dharma MADANI kepada 155 buah kuil iaitu RM20,000 bagi setiap kuil, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3.1 juta.
-- BERNAMA
