SANDAKAN, 26 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil tiba di Lapangan Terbang Sandakan di sini hari ini untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari di Sabah.
Fahmi bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa tiba pada 1.25 tengah hari dan disambut Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah Jainisah Mohd Noor.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Hadir sama, Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya, Pengarah MCMC Negeri Sabah Ratnawaty Talib dan Pengarah J-KOM Sabah Milus Alu.
Petang ini, Fahmi dijadual menghadiri pengujian liputan telekomunikasi di kawasan pelancongan sekitar Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok.
Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok yang terletak di Hutan Simpan Sepilok-Kabili, kira-kira 24 kilometer dari bandar Sandakan, merupakan sebuah pusat pemeliharaan dan penyelidikan terhadap spesies orang utan yang kini semakin pupus.
Esok, Fahmi dijadual menghadiri Hari Bersama Komuniti: Kempen Internet Selamat@NADI Sim Sim pada sebelah pagi sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.
-- BERNAMA