KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin percaya kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir Piala Malaysia 2024/2025 malam tadi masih satu ‘kemenangan’ buat pasukan itu.
Beliau berkata penyokong boleh menilai sendiri persembahan skuad Tok Gajah yang secara keseluruhan telah mempamerkan semangat juang tinggi ke atas gergasi Liga Super berkenaan hingga berjaya memperoleh jaringan pada awal perlawanan.
"Biarpun tewas kami rasa sampai ke tahap ini (perlawanan akhir) pun sudah satu kemenangan sebab kita berjuang dari awal hingga ke penghabisan dan bersyukur dengan apa jua keputusan.
“Penyokong boleh menilai sendiri apa yang terjadi tapi bagi saya sebagai pemain kami teruskan bermain..mungkin perlu fokus lebih lagi. Ralat (kalah) ada la sikit tapi itulah bolasepak ada kalanya kita main bagus kita dihukum dan kalau main tak bagus pun akan dapat keputusan,” kata bekas pemain JDT itu ketika ditemui selepas final di sini malam tadi.
Sri Pahang bimbingan Fandi Ahmad terlebih dahulu mengejutkan JDT apabila mendahului menerusi jaringan pemain sayap T. Saravanan pada minit ke-14.
JDT kemudian bangkit menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti penyerang prolifik Bergson Da Silva pada minit ke-54 sebelum Arif Aiman Mohd Hanapi meledak gol kemenangan pada minit ke-74.
Adam dalam masa sama memuji komitmen rakan sepasukan pada aksi final berintensiti tinggi itu.
“Alhamdulillah semua pemain telah menunjukkan prestasi terbaik,” katanya.
Kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas dua kad merah dilayangkan pengadil, Razlan Joffri Ali masing-masing kepada penyerang Sri Pahang, Sergio Aguero dan pemain pertahanan JDT, Park Jun Heong.
-- BERNAMA