KUCHING, 27 April (Bernama) -- Dalam Sarawak melakar langkah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berasaskan inovasi menjelang 2030, institusi kewangan perlu melakukan lebih daripada sekadar menguruskan modal, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata institusi kewangan perlu memanfaatkan ekonomi berpendapatan tinggi dan berasaskan inovasi ini dengan kecerdasan, ekuiti dan komitmen yang jelas terhadap pembangunan mampan.
“Sistem kewangan yang baik penting untuk ekonomi yang berkembang maju dan Affin memainkan peranan penting dalam transformasi ini. Struktur bersepadunya menggabungkan Affin Bank, Affin Islamic dan Affin Hwang Investment Bank, menawarkan platform yang lancar untuk individu, perniagaan dan pelabur.
“Kami menghargai sokongan Affin untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana), pembiayaan hijau dan penyelesaian digital yang disesuaikan dengan konteks serantau kita.
“Kami turut mengiktiraf peranan Affin sebagai rakan kongsi modal dalam transformasi strategik kami, yang mampu menyokong infrastruktur pemangkin untuk meningkatkan pertumbuhan Sarawak seterusnya,” katanya pada majlis perasmian cawangan Affin Icom Square di sini hari ini.
Uggah, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata PKS bukan sahaja penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri malah, nadi ekonomi yang mewujudkan pekerjaan, memacu inovasi tempatan dan menjadi enjin utama pertumbuhan inklusif.
“Bagi memanfaatkan potensi penuhnya, kita perlu terus membina persekitaran yang membolehkan perusahaan tempatan berkembang maju melalui akses yang lebih baik kepada pembiayaan, perkhidmatan sokongan perniagaan dan keupayaan digital.
“Saya gembira melihat Affin memainkan peranan penting dalam ekosistem ini. Daripada memudah cara akses kepada modal kerja dan pembiayaan perdagangan kepada kecekapan operasi dan pendigitalan. Ia telah mengambil langkah untuk memenuhi keperluan usahawan yang berkembang di Sarawak,” katanya.
Uggah berkata inilah sumbangan Affin yang paling penting dan usaha ini tidak terhad kepada penyediaan produk sahaja yang mencerminkan komitmennya untuk membina nilai dengan memperkasakan perniagaan tempatan untuk bersaing.
“Kekuatan wilayah bukan sahaja dapat dilihat daripada jumlah pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing yang diterimanya, malah sejauh mana perniagaan tempatan itu berkembang,” katanya.
Beliau berkata institusi kewangan perlu bersifat responsif, peka terhadap keperluan tempatan dan berdaya saing secara digital.
“Ia perlu menyediakan bukan sahaja akses yang lebih luas kepada modal dan khidmat nasihat malah, menerima pendekatan yang berorientasikan masa depan untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA