AM

LAPORAN SARAWAK MAHU BELI PEGANGAN AMBANK HANYA SPEKULASI - ABANG JOHARI

17/04/2025 06:18 PM

KUCHING, 17 April (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan laporan yang menyatakan negeri itu mahu membeli pegangan dalam AMMB Holdings Bhd (AmBankGroup) untuk digabungkan dengan Affin Bank Bhd (Affin Bank), sebagai spekulasi semata-mata. 

Beliau turut menafikan laporan Sarawak telah menghantar wakil kerajaan negeri untuk berbincang perkara tersebut dengan pihak AmBank Group.

“Saya terkejut apabila membaca laporan media… laporan itu juga spekulasi. Saya tiada komen kerana saya tidak tahu perkara itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Rindok Raya RECODA anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), di sini, hari ini. 

Abang Johari, bagaimanapun berkata, Sarawak sentiasa bersedia untuk berunding dengan mana-mana entiti sekiranya ada yang ingin bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Sebelum ini, media melaporkan Sarawak, pemegang saham terbesar Affin Bank, sedang berunding dengan AmBank Group bagi menggabungkan kedua-dua bank berkenaan. 

Menurut laporan itu, Sarawak telah menghubungi pengasas AmBank Tan Sri Azman Hashim serta menyatakan minat untuk membeli sahamnya dalam kumpulan berkenaan, melibatkan 11.83 peratus. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan