KUALA LUMPUR, 27 April 27 (Bernama) -- Pemain muda negara Kong Wei Xiang membuktikan kemampuannya apabila menjuarai acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Bawah-18 Tahun Kebangsaan 2025 di Dewan Akademi Badminton Perak di Ipoh hari ini.
Menurut kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain pilihan utama itu terpaksa bangkit selepas ketinggalan sebelum menewaskan rakan sepasukannya Louis Lee Qi Jun, 12-15, 20-18, 15-9 dalam perlawanan akhir yang berlangsung lebih satu jam.
Bagi acara perseorangan wanita, Eng Ler Qi dari BAM menambah koleksi kejayaan apabila muncul juara selepas menewaskan pilihan kedua, rakan sepasukan Oo Shan Zi, 15-8, 15-9 dalam final.
Sementara itu, pasangan BAM, Dania Sofea Zaidi-Datu Anif Isaac Datu Asrah gagal merealisasikan impian menjuarai beregu campuran selepas tewas 16-14, 10-15, 14-16 kepada pasangan rakan sepasukan Loh Ziheng-Maisarah Ramdan dalam perlawanan akhir.
Namun, nasib baik menyebelahi Dania dan Datu Anif dalam kategori beregu wanita dan lelaki.
Dalam acara beregu wanita, pasangan Dania-Low Zi Yu yang sebelum ini muncul naib juara Kejohanan Dunia Junior tahun lalu, menewaskan pasangan bukan pilihan Lee Mun-Carine Tee Xin Qi dari BAM dengan keputusan 15-6, 15-7.
Manakala dalam beregu lelaki, Datu Anif-Damien Ling menewaskan pasangan pilihan ketiga-empat, Heng Zi Hin (Negeri Sembilan)-Ethan Oh Joon Hui (Putrajaya), 15-6, 15-12, untuk merangkul gelaran juara.
Kejohanan ini juga menjadi medan ujian bagi sistem pengiraan baharu dengan format 3x15 mata yang dicadangkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Februari lalu.
BWF mengumumkan bahawa sistem pengiraan baharu ini akan diuji dalam beberapa kejohanan benua dan Jelajah Dunia peringkat Kelas 3 yang terpilih, serta kejohanan kebangsaan dan liga kelab antarabangsa, bermula dari Mac hingga Oktober.
-- BERNAMA