KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam pergaduhan dan merosakkan harta benda sebuah restoran di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata kejadian yang berlaku sekitar 5.40 pagi itu melibatkan dua kumpulan lelaki warga tempatan yang dianggarkan seramai antara lapan hingga 10 orang.
"Siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berpunca apabila seorang wanita daripada satu kumpulan tersebut diganggu oleh satu lagi kumpulan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengurus restoran berkenaan melaporkan premis itu mengalami kerugian RM5,000 kerana peralatan seperti kaunter makan, meja makan dan perhiasan dinding mengalami kerosakan selain terdapat pelanggan yang lari tanpa membuat pembayaran kerana ketakutan.
Menurut Ku Mashariman polis setakat ini telah merakam keterangan tiga saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.
-- BERNAMA