KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia Shahrul Aman Mohd Saari yang meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN) pagi ini.
Sharul Aman meninggal dunia pada usia 50 tahun.
“Mendoakan rohnya diberi keampunan dan keluarganya diberi kekuatan setingginya saat ini,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, selain memegang jawatan dalam IKRAM, Shahrul Aman pernah memimpin Bersih sekitar 2018.
Sementara itu, IKRAM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan jenazah Shahrul Aman akan disolatkan selepas solat zuhur di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.
Penolong Setiausaha Agung IKRAM Khubaib Azahari berkata Shahrul Aman pernah berkhidmat di Pusat Kecerdasan Kuantum Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS) sebelum membuat keputusan meninggalkan kerjaya itu untuk berkhidmat dengan IKRAM, selain memegang jawatan Pemangku Pengerusi Bersih.
Beliau berkata Shahrul Aman merupakan seorang tokoh yang gigih dalam perjuangan dakwah dan pembangunan umat selain aktif dalam gerakan persatuan pelajar Islam di United Kingdom melalui Majlis Syura Muslimun (MSM) semasa menuntut di London.
“Sesungguhnya, seluruh keluarga besar IKRAM amat berdukacita atas pemergian saudara yang kami kasihi ini...pemergian Almarhum juga merupakan satu kehilangan besar kepada gerakan Islam di tanah air dan di peringkat antarabangsa.
“Sepanjang hayatnya, Almarhum telah menzahirkan kepimpinan yang luhur, penuh dengan komitmen, dedikasi dan keikhlasan dalam menggerakkan agenda dakwah, tarbiah, perpaduan, kemanusiaan dan islah di Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook.
-- BERNAMA