GUA MUSANG, 28 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mencatatkan peningkatan sokongan daripada pelbagai kaum dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kali ini meskipun terdapat analisis yang mendakwa calon parti itu tidak meraih sokongan besar, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata hakikatnya hanya satu pusat daerah mengundi (PDM) menunjukkan kekurangan undi iaitu sebanyak 88 undi manakala PDM lain berjaya dirampas sepenuhnya oleh BN.
“Kita juga melihat peningkatan sokongan daripada pengundi Melayu, Cina, India serta Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Dataran Awam Kampung Jerek di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata kadar keluar mengundi yang rendah iaitu sekitar 58 peratus adalah disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang masih berlangsung serta perayaan Cheng Beng dalam kalangan masyarakat Cina.
“Mungkin ramai yang baru pulang ke rumah keluarga masing-masing dan tidak sempat balik untuk mengundi. Namun, yang paling penting ialah kita bukan sahaja mempertahankan kerusi tersebut malah mendapat jumlah undi lebih dua kali ganda,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyatakan rasa syukur atas kejayaan itu dan memuji gerak kerja jentera parti di semua peringkat yang sangat berkesan dalam menyantuni para pengundi.
“Pelbagai pendekatan telah dilakukan, yang penting setiap pengundi mesti disantuni dengan kaedah tertentu.
"Alhamdulillah, kejayaan di DUN Nenggiri, DUN Mahkota dan sebelum itu di DUN Pelangai memperlihatkan hasil kerja keras semua jentera kepimpinan negeri, bahagian dan jentera dari seluruh negara,” katanya.
BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calonnya Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti lebih besar.
Beliau menang dengan majoriri 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi keseluruhan menerusi saingan tiga penjuru, menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
-- BERNAMA