GUA MUSANG, 28 April (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk pembinaan sebuah masjid baharu di Mukim Jerek, di sini, yang disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu, diluluskan bagi menggantikan masjid yang sedia ada.
“Pembinaan masjid di Jerek ini pernah dibangkitkan semasa saya datang sewaktu kempen (PRK DUN Nenggiri), mereka memohon untuk menyiapkannya dan hari ini kita telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, hari ini.
Kelulusan peruntukan itu diumumkan sebagai respons terhadap permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, pada majlis tersebut.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM2 juta, bagi pembinaan sebuah jambatan di Batu 10, Nenggiri.
“Jambatan dengan peruntukan RM2 juta juga telah saya luluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya.
Pada majlis yang sama, beliau juga mengumumkan projek pembinaan 30 kedai yang akan dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan KESEDAR.
Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat DUN Nenggiri, terutamanya dalam aspek peningkatan ekonomi dan penyediaan infrastruktur.
“Menaik taraf Pekan Nenggiri menjadi bandar adalah kerja yang berat, maka kita perlu menyiapkannya dengan segera.
“Jika saya datang lagi, saya mahu melihat struktur bangunan dan tiang telah dibina. Jika saya tidak sempat, saya akan minta Datuk Seri Haji Ahmad Jazlan Yaakub (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan) untuk memantau,” katanya.
-- BERNAMA