EKONOMI

SCIB DAPAT PEMBIAYAAN ISLAM RM49 JUTA DARIPADA MIDF BAGI PENGEMBANGAN SYARIKAT

28/04/2025 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd (SCM), anak syarikat milik penuh tidak langsung Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), telah memperoleh pembiayaan bernilai RM49.0 juta daripada Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SCIB berkata pembiayaan itu di bawah Skim Pembiayaan Mudah untuk Automasi dan Pemodenan Islam (SFSAM-i).

Pakar sistem pembinaan perindustrian itu berkata pakej pembiayaan berkenaan akan menyokong pembangunan kemudahan pembuatan baharu syarikat di Taman Perindustrian Demak Laut Fasa 11B (Peringkat 2), Kuching.

Ia berkata sebanyak RM13.6 juta akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada pengambilalihan lima plot perindustrian yang terletak di Daerah Tanah Muara Tebas.

Selain itu, sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan untuk membiayai sebahagian pembinaan kilang baharu, termasuk blok pejabat, stor, bengkel dan kawasan kilang pengeluaran.

Baki RM15.4 juta akan digunakan untuk membiayai sebahagian perolehan mesin baharu berkapasiti tinggi untuk menyokong pemodenan dan automasi proses pembuatan.

Pengarah Urusan SCIB Ku Chong Hong berkata pembiayaan itu bukan sahaja menyokong rancangan pengembangan syarikat yang berterusan, tetapi juga mengukuhkan komitmennya untuk memodenkan keupayaan pembuatan melalui automasi.

Pengembangan itu akan meletakkan syarikat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap komponen bangunan berkualiti tinggi buatan tempatan, terutamanya ketika Malaysia mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan