AM

GANGGUAN BEKALAN AIR PULIH SEPENUHNYA DI PULAU PINANG

28/04/2025 08:59 PM

GEORGE TOWN,  28 April (Bernama) -- Gangguan bekalan air berjadual (SWSI) di Pulau Pinang yang bermula Jumaat lepas pulih sepenuhnya pada jam 6.45 petang tadi, dengan kawasan terakhir melibatkan 400 akaun di kawasan hujung paip agihan (EoL).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kawasan terakhir yang menerima pemulihan bekalan air itu adalah Gertak Sanggul di daerah Barat Daya, di sini, berikutan proses melepaskan angin terperangkap dalam saluran paip yang mengambil masa lebih lama daripada jangkaan asal.

“Pemulihan bekalan air berjaya disempurnakan hasil kerjasama semua pihak. Kejayaan pelaksanaan 23 projek kerja air yang dijalankan semasa SWSI turut meningkatkan serta menaik taraf keupayaan pam dan pengagihan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, yang merupakan LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata lima manfaat utama yang dicapai melalui SWSI itu termasuk meningkatkan jumlah harian bekalan air terawat yang dipam dari LRA Sungai Dua kepada kira-kira 465,000 pengguna di kelima-lima daerah di negeri ini.

“Manfaat kedua adalah menambah baik tekanan air bagi majoriti pengguna di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua, terutamanya semasa tempoh permintaan tinggi seperti musim kemarau berpanjangan dan musim perayaan,” katanya.

“Seterusnya, SWSI ini turut mengurangkan masalah bekalan air ‘tidak stabil’ di kawasan EoL dan kawasan tanah tinggi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya, serta mempercepat pemulihan bekalan air selepas gangguan berjadual dan insiden gangguan air tidak berjadual pada masa hadapan,” tambah Chow.

Selain itu, beliau berkata projek itu berpotensi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) atau kehilangan air melalui pembaikan kebocoran utama yang dilakukan segera.

Chow turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, termasuk operator air serta agensi yang telah menghulurkan bantuan bagi merealisasikan pemulihan pembekalan air ini.

SWSI yang bermula pada 10 malam Jumaat lepas membabitkan keseluruhan 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang susulan pelaksanaan 23 projek penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada kira-kira 465,000 pengguna di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua, dengan kos sebanyak RM25 juta.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan