AM

TOURISM SELANGOR JALIN KERJASAMA DENGAN AIRASIA PROMOSI SELANGOR DI RUANG UDARA

29/04/2025 02:40 PM

SEPANG, 29 April (Bernama) -- Tourism Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menjalin kerjasama dengan AirAsia untuk mempromosikan destinasi menarik Selangor di ruang udara, dalam usaha mencapai sasaran lapan juta pelancong tahun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat penerbangan itu merupakan langkah penting dalam memperkasakan pelancongan negeri bukan sekadar di peringkat domestik, malah antarabangsa.

"Menerusi kolaborasi ini, kita membawa aspirasi 'Surprising Selangor' dengan menggunakan pesawat AirAsia sebagai duta bergerak yang membawa imej, budaya dan keunikan negeri kita ke seluruh rantau ASEAN dan China.

"Sebanyak 15 pesawat AirAsia kini dihiasi dengan visual promosi pelancongan Selangor di ruang kabin, termasuk ruang bagasi atas dan belakang tempat duduk," katanya dalam ucapan pada Majlis Pengiklanan AirAsia Sempena Tahun Melawat Selangor di sini hari ini.

Teks ucapan Amirudin dibacakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim.

Laluan penerbangan terlibat antaranya ialah Kuala Lumpur ke bandar-bandar utama ASEAN serta destinasi di China seperti Guangzhou, Shenzhen, Kunming, Ningbo, Nanning, Shantou, Guilin dan Quanzhou. 

"Pesawat-pesawat ini beroperasi ke destinasi utama di negara ASEAN dan China, sekali gus memperkenalkan Selangor kepada lebih ramai pelancong antarabangsa.

"Melalui inisiatif seperti ini, kita bukan sahaja mempromosikan keindahan Selangor, malah membina keyakinan pelabur, meningkatkan jaringan antarabangsa dan memperkukuh kedudukan ekonomi negeri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan