GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) -- Pulau Pinang menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang serupa dengan Akta Perkongsian Data 2025, bagi mewujudkan ekosistem yang lebih menyeluruh antara agensi persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang ditemuinya semalam, menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan itu yang disifatkan penting dalam membangunkan ekosistem data yang merangkumi peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan.
"Kami (Kerajaan Persekutuan) menerangkan kepada mereka bahawa kita berupaya membina sebuah ekosistem di mana data dapat diakses bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah turut merangkumi peringkat negeri dan tempatan. Pasukan saya juga telah bertindak proaktif dalam memberikan kefahaman kepada pihak berkuasa negeri mengenai kepentingan perkongsian data.
"Kita mahu mendigitalkan operasi kerajaan sebanyak mungkin, dan apabila usaha ini dapat direalisasikan, semua pihak akan memperoleh manfaat.
“Bagi Pulau Pinang, Ketua Menteri (Chow) amat menyambut baik cadangan ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Malaysia Digital (MD) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari; serta wakil Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh.
Akta Perkongsian Data 2025 yang berkuat kuasa semalam, telah diluluskan di Parlimen sebelum ini bagi memperkukuh pengurusan dan perkongsian data antara agensi kerajaan serta sektor swasta, selaras usaha mempercepat transformasi digital negara.
Sementara itu, Gobind berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menempatkan pegawai undang-undang di setiap negeri untuk memberi penjelasan mengenai kaedah pelaksanaan undang-undang baharu dengan segera.
“Minggu lalu, satu pasukan dari pejabat saya, termasuk pegawai undang-undang dan jabatan undang-undang saya, telah datang ke Pulau Pinang dan membuat pembentangan kepada Zairil.
“Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk melawat semua negeri, supaya mereka dapat memberi penjelasan tentang cara melaksanakannya dengan cepat, dan diharapkan menjelang hujung tahun ini, kita dapat melihat usaha-usaha untuk menggubal undang-undang tersebut di semua negeri,” katanya.
-- BERNAMA