AM

MARA DIARAH TAWAR BIASISWA PENUH KEPADA PELAJAR ORANG ASLI 5A KE ATAS - AHMAD ZAHID

29/04/2025 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah diarahkan supaya menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan 5A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu sebagai penghargaan atas usaha gigih dan ketekunan pelajar terbabit.

“Semoga inisiatif ini membuka lebih banyak ruang dan membina masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak Orang Asli. Insya-Allah,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Menerusi video yang turut dikongsikan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata seramai 1,932 pelajar Orang Asli menduduki peperiksaan SPM dan daripada jumlah itu, seramai 87 pelajar memperoleh keputusan 5A ke atas.

Beliau berkata biasiswa penuh itu adalah bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

“Mereka boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), German-Malaysian Institute (GMI) dan lain-lain institusi pendidikan tinggi di bawah MARA,” katanya.

Ahmad Zahid berkata usaha memperkasa anak-anak Orang Asli agar mampu bersaing dan berjaya memerlukan sokongan berterusan, bukan sahaja dari segi galakan moral tetapi juga akses kepada kemudahan pendidikan berkualiti.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan