AM

SIC VENUE PERTAMA LAKSANA GARIS PANDUAN PENGANJURAN KONSERT DAN FESTIVAL

29/04/2025 07:38 PM

SEPANG, 29 April (Bernama) -- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi fasiliti pertama yang melaksanakan sepenuhnya Garis Panduan Penganjuran Konsert dan Festival yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi memastikan konsert yang diadakan lebih selamat dan beretika, khususnya bagi muzik tari elektronik (EDM). 

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata selain garis panduan yang disediakan kementerian, pihak SIC juga akan melaksanakan beberapa garis panduan tambahan antaranya semua artis yang membuat persembahan diwajibkan untuk menyampaikan mesej kesihatan setiap jam serta bahan promosi mengenai keselamatan, bahaya dadah dan langkah-langkah kecemasan dipamerkan sepanjang acara berlangsung.

"Usaha ini (garis panduan) ini membuktikan komitmen serius KBS dalam memastikan aktiviti hiburan dan belia dianjurkan dalam persekitaran yang lebih sihat, selamat dan bertanggungjawab.

"KBS bertekad membina budaya hiburan yang meraikan kehidupan sihat selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hannah berkata garis panduan itu yang berkuat kuasa sejak 21 April lepas, antaranya mengandungi langkah pencegahan penyalahgunaan dadah, pengurusan minuman beralkohol secara terkawal, tempat minum (hydration point) dan zon bertenang (chill out zone), serta kesiapsiagaan perubatan.

Ditanya adakah garis panduan itu terpakai untuk konsert yang diadakan di fasiliti swasta, Hannah berkata beliau percaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengguna pakai garis panduan yang sama.

"Garis panduan ini dibangunkan bersama PDRM dan untuk konsert-konsert EDM yang dianjurkan di kawasan swasta mereka masih memerlukan kebenaran dan maklum balas polis, jadi saya yakin polis akan konsisten menggunakan garis panduan yang sama untuk mereka.

"Tujuan kita mengadakan garis panduan ini bukan untuk menyusahkan semua pihak tetapi untuk pastikan konsert boleh dijalankan secara teratur dan pada masa yang sama jika ada apa-apa berlaku, pakar-pakar kesihatan, melalui garis panduan ini, sudah bersedia untuk membantu pihak yang terlibat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata selain mematuhi garis panduan yang disediakan KBS, pihaknya turut memperkenalkan beberapa langkah keselamatan tambahan antaranya dengan memastikan jumlah paramedik, ambulans, kemudahan rawatan dan kawasan rehat mencukupi berdasarkan jumlah kehadiran pengunjung. 

"Penganjur dikehendaki menyediakan ruang atau bilik perubatan untuk rawatan di lokasi dan bagi acara melebihi 3,000 pengunjung, minimum dua kawasan rawatan dengan katil mesti disediakan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan