AM

RMHC MALAYSIA, PLANTOYS AGIH 3,760 MAINAN BANTU KOMUNITI AUTISME

30/04/2025 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dengan kerjasama jenama mainan lestari, PlanToys Malaysia mengedarkan 3,760 unit mainan perkembangan kanak-kanak kepada komuniti autisme di seluruh negara sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia, baru-baru ini.

Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata inisiatif tersebut bertujuan menyokong program utama RMHC Malaysia, iaitu Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) yang memberi manfaat kepada kanak-kanak kelainan upaya dan autisme di seluruh negara.

“Program Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald merupakan antara usaha teras kami dalam membantu kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya yang berada dalam spektrum autisme.

“Kerjasama bersama PlanToys Malaysia membolehkan kami meluaskan capaian usaha ini ke luar bilik terapi sensori, iaitu terus kepada keluarga dan pendidik, bagi mempertingkatkan perkembangan kanak-kanak melalui aktiviti bermain yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, sebanyak 35 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald telah ditubuhkan di seluruh negara, direka khusus untuk membantu kanak-kanak autisme dan keperluan khas lain dalam aspek pemprosesan deria, komunikasi serta kemahiran kognitif menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan permainan.

Menurut kenyataan itu, mainan berkenaan turut diagihkan kepada 640 pusat autisme dan pusat komuniti di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan merangsang.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung semasa kempen tahunan ‘Inclusion is Kindness’ Autsome 2025, yang meraikan keterangkuman serta sokongan terhadap komuniti autisme, diadakan baru-baru ini di Sunway Putra Mall.

“RMHC Malaysia turut mengedarkan mainan sebagai sebahagian daripada usaha jangkauan komuniti mereka. Bagi memperluas impak inisiatif ini, keluarga yang mempunyai anak autisme dan berdaftar sebagai ahli Autsome di pusat beli-belah berkenaan turut menerima sumbangan mainan ini secara percuma,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan