AM

SERAMAI 105 WARGA MARITIM MALAYSIA TERIMA APC 2024

29/04/2025 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Seramai 105 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dalam satu majlis hari ini sebagai penghargaan tertinggi atas komitmen yang dicurahkan sepanjang tahun lepas.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli berkata penganugerahan tersebut bukan sekadar simbol penghormatan tetapi menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga agensi itu untuk terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan profesional.

“Keunggulan Maritim Malaysia bukan hanya terletak pada kecekapan operasi, tetapi pada iltizam setiap pegawainya untuk menjunjung amanah negara dengan penuh taat setia dan keberanian,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Rosli turut menyeru agar penerima menjadi teladan dan pembimbing kepada generasi baharu dalam agensi selain terus memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan kecekapan dalam setiap lapisan organisasi.

Penerima APC terdiri daripada petugas dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Maritim Negeri Selangor, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Stesen Udara Maritim Subang serta Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan Reben Perkhidmatan Cemerlang Maritim (RCM) kepada sembilan penerima APC yang telah menerima sebanyak tiga kali anugerah APC sepanjang perkhidmatan di Maritim Malaysia.

Majlis anjuran bersama Bahagian Sumber Manusia Maritim Malaysia itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan