AM

KEBENARAN OPERASI SEMULA : PENTERNAK BABI DI PAYA MENGKUANG PERLU PATUH DUA SYARAT

29/04/2025 10:45 PM

MELAKA, 29 April (Bernama) -- Penternak ladang ternakan babi di Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru di sini, perlu mematuhi dua syarat ketat yang ditetapkan sekiranya mahu meneruskan semula operasi ladang tersebut.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata syarat utama ialah operasi ladang penternakan babi berkenaan, mesti dilakukan secara tertutup dan bukannya secara konvensional seperti dahulu.

Beliau berkata syarat lain ialah babi yang ingin dibawa masuk daripada luar Melaka ke ladang terlibat, perlu mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri bagi memastikan haiwan berkenaan bebas daripada sebarang penyakit.

“Jika penternak boleh mematuhi syarat yang ditetapkan itu, kerajaan negeri tiada halangan untuk membenarkan ladang mereka beroperasi semula.

“Kita telah mengadakan perjumpaan dengan penternak ladang babi di kawasan berkenaan dan mereka sedia maklum dengan syarat yang telah ditetapkan itu,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang kertas kerja daripada penternak sedia ada, berkaitan pembinaan ladang tertutup untuk kebenaran beroperasi semula.

Pada Jan 2022, media melaporkan kerajaan negeri Melaka bersetuju mewartakan 35 ladang ternakan babi di Paya Mengkuang sebagai kawasan wabak dan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Pewartaan itu adalah bagi mengawal penularan penyakit ASF daripada merebak, namun tiada tempoh khusus ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan