EKONOMI

BURSA MALAYSIA LANCAR BURSA RISE+ BAGI TINGKAT KEBOLEHLIHATAN, PROFIL SYARIKAT

30/04/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) mengumumkan pelancaran skim insentif penyelidikannya yang diperluaskan, Skim Insentif Bursa Research Plus (Bursa Rise+), bagi meningkatkan kebolehlihatan dan profil korporat syarikat Malaysia terpilih.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata menerusi inisiatif yang disokong oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) itu, orang awam Malaysia boleh mendapat akses kepada liputan penyelidikan komprehensif yang dijalankan oleh firma penyelidikan berlesen.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed berkata Bursa Rise+ membuktikan komitmen Bursa Malaysia untuk mempromosikan pasaran modal sebagai sumber pembiayaan bagi syarikat tersenarai awam, syarikat swasta dan firma yang telah disenaraikan sebelumnya.

“Menerusi liputan penyelidikan komprehensifnya, Bursa RISE+ bertujuan meningkatkan profil dan kebolehlihatan syarikat Malaysia dalam kalangan pelabur, dengan itu memudahkan usaha mereka untuk mengumpul dana,” katanya.

Sementara itu, liputan penyelidikan Bursa RISE+ adalah lebih luas berbanding fasa awal, iaitu Bursa RISE yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada PLC, tetapi kini turut merangkumi syarikat swasta yang berpotensi mencatatkan pertumbuhan, serta firma tawaran awam pra-permulaan (IPO) yang dalam perancangan untuk penyenaraian di Bursa Malaysia.

Bursa RISE+ iaitu inisiatif dua tahun menyasarkan untuk meningkatkan kebolehlihatan sebanyak 60 PLC sepanjang tempoh pelaksanaannya dan 40 syarikat swasta atau firma pra-IPO setiap tahun.

Laporan penyelidikan yang dihasilkan di bawah initiatif ini akan boleh diakses oleh orang ramai menerusi Portal Pelanggan MyBURSA.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan