SHAH ALAM, 30 April (Bernama) -- SIRIM Bhd (SIRIM) melancarkan lima inovasi kosmetik yang sedia untuk memasuki pasaran, dengan setiap satu dilengkapi perlindungan harta intelek (IP), bagi pemain industri yang berminat.
Produk tersebut yang tersedia untuk pelesenan segera menerusi program pengkomersialan fleksibel SIRIM, termasuk ekstrak nephelium lappaceum (rambutan), ekstrak mesra mikrobiom biojisim nanas postbiotik, minyak biji kenaf, ekstrak roselle dan mikrobiodegradasi.
Ketua Pegawai Teknologi SIRIM Industrial Research Dr Muhammad Izzal Ismail berkata inovasi kosmetik itu dibangunkan menerusi Pusat Sains Hayat SIRIM dan menyediakan sokongan menyeluruh kepada pemegang lesen, termasuk kepakaran teknikal, sumber pembangunan produk dan panduan kesediaan pasaran.
“Sebagai organisasi penyelidikan industri dan teknologi yang terkemuka di Malaysia, SIRIM telah berada di barisan hadapan dalam memajukan sains dan teknologi untuk menyokong perniagaan, industri serta pembangunan negara.
“Inovasi perlu menjangkaui ruang lingkup makmal dan diterjemahkan ke dalam aplikasi dunia sebenar yang menjana impak kepada ekonomi.
“Jadi, pengkomersialan memainkan peranan penting dalam proses ini, merapatkan jurang antara penyelidikan dan penyelidikan sedia pasaran,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada “Business Linkages: Unlock New Horizons in Commercialisation” di sini, hari ini.
Muhammad Izzal juga berkata pasaran penjagaan kulit di Malaysia diunjurkan menjana pendapatan kira-kira US$938.17 juta (US$1 = RM4.32) tahun ini, dengan segmen pasaran itu dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 3.55 peratus dari 2025 hingga 2030.
Beliau berkata SIRIM menyediakan alat penting kepada pemain industri kosmetik tempatan bagi meningkatkan perniagaan mereka, dan seterusnya akan mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global dalam segmen tersebut.
“Pasaran produk penjagaan kulit global bernilai US$151.8 bilion pada 2023 dan ia dijangka meningkat daripada US$156.4 bilion pada 2024 kepada US$231.6 billion pada 2032 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak lima peratus,” katanya.
Muhammad Izzal berkata selain ujian elektronik, SIRIM turut mengambil langkah untuk merapatkan jurang antara penyelidikan dan industri kosmetik tempatan dengan harapan dapat meningkatkan segmen itu ke peringkat yang lebih tinggi menerusi perkhidmatan yang disediakan oleh entiti penyelidikan itu dari segi ujian produk.
“Ramai orang tidak menyedari bahawa SIRIM turut menyediakan perkhidmatan bagi pengeluaran produk kosmetik seperti ujian alergen, analisis bahan kimia, ujian mikrob, ujian loga, berat, kerengsaan dan ujian pemekaan.
“Kami menawarkan semua kemudahan itu bagi membantu membangunkan ekstrak piawai yang selamat dan berkesan.
“Syarikat tempatan sering menghantar produk mereka ke luar negara untuk ujian, yang boleh membabitkan tempoh inkubasi yang panjang dan kos yang lebih tinggi.
“Padahal, mereka boleh datang ke SIRIM dan menghantar produk mereka untuk menjalani ujian dengan kami,” katanya.
Sementara itu, acara “Business Linkages: Unlock New Horizons in Commercialisation” yang diadakan di ibu pejabat SIRIM disertai jenama kosmetik utama, syarikat bersaiz sederhana dan syarikat pemula untuk meneroka peluang pengkomersialan segera bagi bioteknologi termaju yang dibangunkan oleh penyelidik SIRIM.
Ia sejajar dengan misi SIRIM untuk mempercepatkan pengkomersialan penyelidikan tempatan dengan menghubungkan penyelidik secara langsung dengan rakan kongsi industri.
Selain itu, acara itu juga bertujuan membuka peluang kepada perniagaan di Malaysia untuk lebih inovatif ketika menghasilkan produk kosmetik bagi memenuhi permintaan pengguna yang inginkan produk yang mampan dan berasaskan sains.
-- BERNAMA