AM

TING INGATKAN AHLI MAJLIS PERBANDARAN SIBU UTAMAKAN TANGGUNGJAWAB BERBANDING KEPENTINGAN PERIBADI

30/04/2025 03:27 PM

SIBU, 30 April (Bernama) -- Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC) Clarence Ting Ing Horh, mengingatkan semua ahli majlis supaya tidak mencampuradukkan kepentingan peribadi dengan tugas rasmi,  dan menekankan bahawa tanggungjawab utama mereka adalah berkhidmat kepada masyarakat dan membantu memajukan bandar Sibu.

“Kalau mahu dapatkan kontrak, lebih baik letak jawatan sebagai ahli majlis. Hanya selepas itu anda boleh membida kontrak SMC,” katanya dengan nada tegas semasa mesyuarat penuh majlis yang diadakan di sini hari ini.

Ting memberi amaran bahawa sebarang penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi tidak akan dipertimbangkan, dan beliau tidak akan teragak-agak untuk melaporkan salah laku tersebut terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga menggesa ahli majlis supaya menghormati kakitangan SMC dan bekerjasama dengan mereka dalam semangat muafakat, bukannya bersikap mendominasi.

“Jangan arahkan kakitangan sesuka hati. Bekerjasamalah dengan mereka dan rujuk mereka jika timbul sebarang isu,” nasihatnya.

Mengulas aduan sesetengah ahli majlis berhubung kawasan jagaan mereka, Ting menggalakkan mereka menyuarakan kebimbangan dan membuat permintaan pertukaran kawasan sekiranya perlu, dan bukannya hanya merungut.

“Jangan hanya merungut. Jika rasa kawasan yang diberi tidak sesuai, minta pertukaran. Kita akan buat pengaturan sewajarnya bagi memastikan anda dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada penduduk,” katanya.

Ting turut mengingatkan ahli majlis agar mengenepikan fahaman politik ketika menjalankan tugas majlis dan menumpukan sepenuhnya kepada keperluan masyarakat.

“Semua anda dilantik oleh parti masing-masing dalam gabungan Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi selepas dilantik, tanggungjawab anda adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam kawasan majlis,” tegasnya.

Mesyuarat hari ini dihadiri kesemua 28 ahli majlis – 22 daripadanya dilantik semula manakala enam lagi adalah lantikan baharu – yang telah mengangkat sumpah pada 15 April lepas bagi penggal 2025–2028.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan